PSC cadang tubuh ‘Kafe Sains’

GEORGE TOWN – Ooi Peng Ee yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penang Science Cluster (PSC) bercadang menubuhkan ‘Kafe Sains’ di Krystal Point, Bayan Baru.

Beliau berkata, idea kafe yang sarat dengan alatan serta informasi sains itu mampu menarik minat pengunjung, khususnya kanak-kanak.

Menurut beliau, idea itu tercetus hasil pengalaman PSC menganjurkan Penang International Science Fair (PISF) selama dua hari pada bulan April lepas yang direkodkan berjaya menarik lebih kurang 35,000 pengunjung.

“Ada sebahagian kanak-kanak yang kecewa kerana mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan pada PISF berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

“Jadi kami (PSC) mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah kafe yang seakan-akan pameran sains yang akan dibuka setiap hari bagi memberi peluang kepada semua untuk mendekati sains,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin idea itu akan mendapat sokongan badan-badan korporat yang selama ini mengikuti perkembangan PSC.

Malah, katanya lagi, ‘Kafe Sains’ itu akan dijadikan pelantar ujian untuk PSC, sama ada mahu membuka kafe serupa di tempat-tempat lain atau sebaliknya.

“Kami melihat keperluan untuk kanak-kanak merasai sendiri (hands-on) aktiviti sains adalah penting dan menjadikan ‘Kafe Sains’ sebagai platform untuk kanak-kanak ini mengambil bahagian secara dekat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Peng Ee turut mengumumkan penganjuran Pameran Sains Antarabangsa pada Oktober 2013.

“Ini adalah sebahagian usaha PSC dalam menggalakkan pelajar khususnya untuk melibatkan diri dalam inovasi melalui sains.

“Budaya inovasi dalam bidang sains dan teknologi ini harus terus dipupuk agar suatu hari kelak akan ada kelompok pintar sains dan teknologi bertaraf dunia di Pulau Pinang,” jelasnya.

PSC ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri untuk memupuk minat serta kreativiti dalam bidang sains dan teknologi, khususnya di peringkat sekolah di negeri berkenaan.