Terminal teksi baru selesai masalah kesesakan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNSebuah terminal teksi bakal dibina di hadapan kompleks membeli belah Prangin Mall sebagai penyelesaian kepada masalah tiada lokasi sesuai menaik dan menurunkan penumpang yang dihadapi pemandu teksi di sini.

Pembinaan ruang terbabit adalah hasil persetujuan perbincangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik bersama wakil-wakil Persatuan Gabungan Pemandu Teksi Komtar dan pihak pentadbiran Prangin Mall.

Wei Aik berkata, inisiatif tersebut adalah idea pihak pentadbiran Prangin Mall yang turut bersetuju membiayai kos pembinaannya kelak.

“Ini merupakan inisiatif daripada pihak pentadbiran Prangin Mall bagi membina sebuah terminal teksi yang sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di sini.

“Dengan adanya terminal khas teksi ini, ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang dan pengguna. Malah, teksi juga hanya akan tertumpu di satu kawasan sahaja dan bukan lagi menurunkan penumpang sesuka hati di bahubahu jalan,” ujarnya pada satu sidang media ringkas di Komtar baru-baru ini di sini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perkara tersebut bakal diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) selaku urusetia bagi mengendalikan semua perbincangan susulan kelak.

“Saya berharap dengan adanya terminal teksi ini kelak, ia mampu memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Ianya adalah cadangan yang baik dan merupakan satu permulaan untuk menggerakkan sektor pelancongan di Pulau Pinang,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Pemangku Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, A. Rajendran.

LIMA wakil gabungan persatuan teksi Komtar bergambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri selepas pengumuman pembinaan sebuah terminal teksi di sini baru-baru ini.
LIMA wakil gabungan persatuan teksi Komtar bergambar
kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan Exco Kerajaan
Negeri selepas pengumuman pembinaan sebuah terminal teksi di sini baru-baru ini.