Vistana kini hotel bertaraf lima bintang

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT JAMBUL – Hotel Vistana Pulau Pinang yang beroperasi sejak tahun 1999 dilancarkan dengan penjenamaan baru kepada taraf lima bintang setelah YTL Corporation Berhad (YTL) melaburkan sebanyak RM20 juta untuk tujuan berkenaan di sini baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Kian, langkah tersebut diambil bagi memenuhi permintaan pelanggan, kebanyakannya daripada Gen-Y, yang mahukan reka bentuk kontemporari dan kemudahan digital serta perkhidmatan atas talian pantas.

“Dengan mengambil kira permintaan tersebut, YTL telah mewujudkan suasana serta perkhidmatan moden yang menarik kepada pelanggan setia dan generasi baru pelancong di negeri ini.

“Tetamu hotel ini bakal menikmati pengalaman baru, tanpa ada sebarang perubahan terhadap layanan bernilai sebelum ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Hotel Vistana Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Datuk Abdul Rahim Isahak (Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC)

Guan Eng memberitahu, langkah pihak YTL untuk menaik taraf hotel tersebut merupakan keputusan tepat berikutan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dari segi perjalanan perniagaan dan percutian kini.

“Langkah YTL Hotel ini amat tepat pada masa dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Melawat Pulau Pinang 2015-2016.

“Masa setahun yang diambil pihak YTL untuk menjenamakan semula hotel ini menunjukkan mereka proaktif dan sensitif dengan permintaan pasaran di negeri ini,” ujar beliau.

Tambah Guan Eng, pada tahun 2012, Pulau Pinang menjadi negeri ketiga di Malaysia yang menerima jumlah pelancong tertinggi iaitu sebanyak 6.09 juta pelancong.

“Berdasarkan trend semasa, kita (Pulau Pinang) mensasarkan lebih 6.2 juta pelancong yang bakal melawat Pulau Pinang pada tahun ini.

“Saya amat yakin dengan trend ini, jumlah pelanggan Hotel Vistana akan terus meningkat daripada tahun-tahun yang sebelumnya dengan
inisiatif penjenamaan semula ini,” tambah beliau.