Pengeluaran alat pensanitasi tangan meningkat berlipat ganda ekoran COVID-19

BUKIT TENGAH – Memasuki hari ke-40 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkesempatan melawat ke kilang pengeluar produk kecantikan dan penjagaan diri, Sky Resources Sdn. Bhd. di sini.

Lawatan berkenaan adalah untuk melihat perjalanan operasi kilang berkaitan yang tersenarai dalam kategori perkhidmatan ‘essential’ dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Beliau yang tiba pada pukul 1 petang terlebih dahulu menjalani memeriksa suhu badan di pintu masuk sebelum dibawa ke makmal bagi meneliti proses penghasilan produk pensanitasi tangan.

Mengakhiri lawatan selama satu jam itu, Kon Yeow dibawa ke bilik mesyuarat untuk taklimat ringkas khususnya berkaitan perjalanan operasi Sky Resources Sdh. Bhd. dalam tempoh PKP oleh Pengarah Eksekutifnya, William Tan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung: ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani serta Presiden FMM Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock.

Chow Kon Yeow meneliti salah satu produk yang dikeluarkan oleh syarikat berkaitan.

Dalam pada itu, bercakap kepada Buletin Mutiara, William Tan memberitahu bahawa permintaan terhadap peralatan pensanitasi tangan meningkat berlipat kali ganda sejak penularan wabak COVID-19 khasnya selepas PKP mula dikuat kuasakan.

Beliau berkata, pihaknya kini mengeluarkan kira-kira 300,000 unit produk pensanitasi tangan dalam tempoh sebulan berbanding 10,000 unit pada waktu biasa.

“Sebelum ini, kami lebih tertumpu kepada pengeluaran produk kecantikan wanita serta makanan kesihatan dan pensanitasi tangan hanya produk sampingan.

“Sejak dua bulan lalu, kami mula memfokuskan pengeluaran produk pensanitasi tangan setelah mendapati harga barangan ini meningkat mendadak ekoran penularan COVID-19 yang dilihat membebankan pengguna.

Mendengar penerangan oleh salah seorang kakitangan syarikat.

“Kami juga mula menjalankan penyelidikan sebelum PKP bermula bagi memastikan produk pensanitasi tangan yang dihasilkan adalah memenuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan yang paling penting adalah mampu mencegah jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Difahamkan, Sky Resources Sdn. Bhd. hanya membenarkan 50 peratus daripada jumlah kakitangan bekerja sepanjang tempoh PKP dengan pelaksanaan langkah keselamatan yang ketat seperti penyaringan suhu badan, mewajibkan penggunaan pelitup muka dan pensanitasi tangan serta mengamalkan jarak sosial selamat di setiap ruangan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD