Kongsikan untung RM5 juta kepada 31 pemilik tanah Melayu Kg. Terang – KM

Admin
ABDUL Halim Hussain ditemani Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy (kiri sekali) menunjukkan dokumen berhubung penjualan tanah Kampung Terang, Balik Pulau oleh dua pemimpin UMNO di sini baru-baru ini.
ABDUL Halim Hussain ditemani Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr.
P. Ramasamy (kiri sekali) menunjukkan dokumen berhubung penjualan tanah Kampung
Terang, Balik Pulau oleh dua pemimpin UMNO di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPURKetua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa Perdana Menteri harus mengarahkan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar supaya memulangkan keuntungan RM5 juta sebagai broker tanah atau 57 peratus keuntungan yang dikaut dalam 3.5 bulan kepada 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa, walaupun perbuatan kedua-dua pemimpin UMNO tersebut tidaklah haram, namun, tindakan mereka sebagai broker tanah menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral dan tidak berprinsip, apatah lagi, apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu.

Mengulas lebih lanjut, Guan Eng menjelaskan bahawa sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain telah mendedahkan skandal pencatutan tanah oleh kedua-dua pemimpin UMNO berkenaan yang membabitkan hampir 10 ekar tanah di Kampung Terang, Balik Pulau :

Tanah dipindah milik daripada 31 pemilik tanah Melayu kepada Maison Heights Sdn. Bhd. pada 31 Januari 2012 dengan jumlah harga RM8.6 juta;

Maison Heights Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 6 Mac 2009 untuk tujuan pembinaan, tanah, pelaburan dan pemajuan hartanah serta perdagangan am;

Maison Heights Sdn. Bhd. mempunyai modal berbayar RM1 juta dan dimiliki Musa dengan RM500,000 saham, Omar (RM499,999) sementara adik Omar, Harun mempunyai RM1 saham.

Maison Heights Sdn. Bhd. telah menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada 16 Mei 2012 dengan harga RM13.5 juta.

“Dalam erti kata lain, Maison Heights Sdn. Bhd. ataupun Datuk Musa (Musa) dan Datuk Omar (Omar) telah mengaut keuntungan hampir RM5 juta daripada transaksi tanah dalam masa 3.5 bulan.

“Keuntungan RM5 juta ini adalah daripada pelaburan asal RM8.6 juta bermaksud margin keuntungan adalah 57 peratus dalam masa 3.5 bulan sahaja – satu keuntungan yang luar biasa dalam masa yang singkat,’’ ujarnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Guan Eng kemudian mempersoalkan bahawa adakah ini caranya pemimpin UMNO mempertahankan hak Melayu – dengan mengaut keuntungan yang sepatutnya dimiliki orang Melayu biasa?

“Sehingga sekarang, mereka (Musa dan Omar) belum lagi menjelaskan bagaimana keuntungan RM5 juta itu boleh membawa manfaat kepada 31 pemilik tanah Melayu tersebut,’’ tegas beliau.

Katanya lagi, dahulu, kedua-dua pemimpin UMNO tersebut telah mengkritik Kerajaan Negeri kerana ingin mengambil tanah Melayu demi mengejar keluar orang Melayu dari Pulau Pinang.

Malah, jelas Guan Eng, UMNO juga telah mengkritik Kerajaan Negeri kerana ingin memperoleh tanah 100 ekar di kawasan lain di Balik Pulau untuk tujuan pendidikan dengan mendirikan Asian Women Leadership University (AWLU). Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dimangsakan dengan serangan rasis UMNO walaupun 60 peratus tanah tersebut dimiliki bukan Melayu dan hanya 40 peratus dimiliki Melayu.

“Pendedahan skandal pencatutan tanah oleh pemimpin-pemimpin UMNO membuktikan kemunafikan UMNO yang menguar-uarkan pertahanan hak Melayu, tetapi sebenarnya menggadaikan hak mereka. Jelas bukanlah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, tetapi, pemimpin-pemimpin UMNO seperti Musa dan Omar yang telah menggadaikan tanah Melayu.

“Justeru, Najib harus menyelamatkan kredibiliti UMNO dengan mengarahkan kedua-dua pemimpin UMNO ini untuk memulangkan keuntungan RM5 juta yang diperoleh kepada 31 pemilik tanah Melayu. Jika mereka adalah broker tanah yang tulen, mereka berhak untuk mendapat komisyen pada kadar pasaran iaitu 2 peratus ataupun RM270,000 dan bukan RM5 juta ataupun kadar komisyen 57 peratus!” tegas Guan Eng.