Rayuan diterima, tanah Kg. Genting selamat

Admin

BALIK PULAUMengambilkira rayuan penduduk, atas inisiatif khas, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah menghantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Sri Idris Jala pada 10 Julai lalu bagi memohon pertimbangan pilihan tapak pembinaan AWLU ataupun Asian Women Leadership University di Kampung Genting, di sini yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Hasilnya, kata persetujuan berjaya dicapai apabila pihak universiti (AWLU) akhirnya bersetuju untuk mengubah lokasi asal mereka ke Jalan Pondok Upeh, di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, surat permohonan dihantar bagi membolehkan kerajaan persekutuan dan pengelola AWLU berbincang dan menimbangkan cadangan dikemukakan memandangkan kawasan Pondok Upeh juga merupakan kawasan strategik bagi tujuan pembinaan universiti terbabit.

“Sebagai balasan kepada surat yang dihantar, ia menyatakan persetujuan bahawa cadangan pemilihan semula lokasi universiti di Pondok Upeh diterima kedua-dua pihak dan tanah di Kampung Genting tidak akan diambil untuk tujuan berkenaan.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan projek pembangunan AWLU di atas tanah Kampung Genting dibatalkan demi kebajikan rakyat,’’ katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama penduduk serta pemilik tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya pada 22 Julai lalu di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Sebelum ini, AWLU telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Februari 2012 sebagai projek utama pendidikan dalam usaha mentransformasikan Malaysia kepada ekonomi pendapatan tinggi. Idris, pada 12 Jun 2012 telah meminta Kerajaan Negeri untuk memulakan proses pemindahan milik tanah 100 ekar kepada AWLU.

Ekoran itu, lebih 40 pemilik tanah dari pelbagai bangsa telah mengadakan perbincangan tertutup dengan Guan Eng di Komtar, George Town pada 3 Julai lalu gara-gara bimbang dengan hasrat pusat membina AWLU di kampung mereka.

Hasil perbincangan, Guan Eng menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sekadar memudahcara hasrat kerajaan pusat mengambil alih tanah tersebut sebagaimana peruntukan Akta Pengambilan Balik Tanah, 1960.

Guan Eng kemudian turut mengemukakan surat hitam putih bertarikh 12 Jun lalu (daripada Idris) yang menyebut mengenai hasrat kerajaan pusat untuk membina AWLU di Kampung Genting. Kerajaan Negeri turut diminta untuk memudahcarakan hasrat berkenaan.

Tambah Guan Eng, pada mulanya, kawasan Pondok Upeh merupakan cadangan lokasi utama dikemukakan kepada pengelola AWLU selain Batu Kawan di Seberang Perai Tengah.

“Lokasi di Batu Kawan ditolak dan Kampung Genting dipilih berikutan lokasi terbabit dikira lebih sesuai.

“Bagaimanapun, proses pengambilan tanah Kampung Genting tidak akan diteruskan selepas mengambil kira rayuan dikemukakan penduduk. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri mengenepikan perbezaan politik dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan pendidikan di Balik Pulau,’’ jelas beliau.

ANTARA penduduk yang hadir pada perjumpaan bersama pucuk pimpinan negeri berhubung isu penubuhan AWLU di Kampung Genting di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya pada 22 Julai lalu di sini.
ANTARA penduduk yang hadir pada perjumpaan bersama pucuk pimpinan negeri berhubung isu
penubuhan AWLU di Kampung Genting di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya pada 22
Julai lalu di sini.