Kontraktor Kelas F perlu berani untuk bersaing dengan lebih hebat – TKM1

Admin

GEORGE TOWN – Kontraktor Kelas F perlu berani untuk bersaing dengan lebih hebat dalam merebut tender atau projek Kerajaan di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, persaingan itu penting bagi memastikan kualiti atau mutu kerja kontraktor Kelas F terjamin, sekaligus mengelak kontraktor konsesi dikenakan tindakan kerajaan.

“Sejak Kerajaan Negeri berpindah tangan pada tahun 2008, saya mendapati begitu banyak kontraktor Bumiputera yang berani bersaing di Pulau Pinang, mereka berjaya menyiapkan projek mengikut jadual, serta kualiti kerja mereka juga sangat baik.

“Justeru, PERKOBF (Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F) mesti mengekalkan pencapaian ini,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Kali Ke-6 PERKOBF Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Seminar At-Taqwa di sini 21 Oktober 2018.

Pada majlis sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut berucap serta merasmikan penubuhan Kelab Sukan PERKOBF (KEPERKO).

Hadir sama, Presiden PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion; Yang di-Pertua PERKOBF Cawangan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Razif Zakaria dan Pengarah Urusan Area Padu Sdn. Bhd. (Kontraktor G7), Ahmad Rahiza Abd. Jalil.

Pada majlis sama, Ahmad Zakiyuddin dan Farizan turut menyaksikan sesi tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ahmad Rahiza dan pihak PERKOBF bagi program ‘Mentor-Mentee’ serta mewujudkan usahasama dalam bentuk memberi peluang kerja serta tawaran sebut harga.

Mereka kemudian dibawa melawat gerai pameran di sini.

Sebelum itu, para perwakilan PERKOBF berikrar bahawa Kontraktor G1 juga mampu berdaya saing, kompeten serta mempunyai pengkhususan kepakaran dalam bidang masing-masing, sehingga boleh menyiapkan projek yang diberikan dengan sempurna serta mendapat pengiktirafan tinggi.

Mohamad Razif, ketika berucap, turut menzahirkan harapan agar PERKOBF diberi peluang untuk melaksanakan projek Kerajaan secara integriti dan produktif.

“(PERKOBF) harap dikuatkuasakan semula Akta Perbendaharaan 182 iaitu akta yang menyatakan semua jabatan bukan teknikal hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Tenikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan semua projek,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB