Konvoi Ramadan: Kon Yeow agih sumbangan bantuan di Kampung Permatang Tengah

Admin

PERMATANG PASIR – Masuk hari ke-16 Ramadan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi tadi meluangkan masa menyertai acara konvoi di Kampung Permatang Tengah bagi menyerahkan bantuan barangan makanan keperluan asas kepada beberapa penerima terpilih dalam kalangan orang Islam di sini.

Beliau diiringi Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dan ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

KETUA Menteri diiringi Muhammad Faiz Fadzil dan pemimpin Kerajaan Negeri yang lain dalam jelajah Ramadan di Kampung Permatang Tengah di sini pada pagi tadi.

ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai ‘Konvoi Ramadan’ tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat, juga kepada ADUN dan Ahli Parlimen kerana sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pihak-pihak berkaitan telah mewakili Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan barangan makanan kepada rakyat memerlukan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkaitan pada 9 Mei 2020.

Menurut Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN), Pulau Pinang berjaya mencapai status negeri hijau semalam (8 Mei 2020) dengan tiada pertambahan kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari berturut-turut adalah hasil kerjasama daripada semua pihak di negeri ini.

Justeru, beliau berharap semua pihak diharap terus mengamalkan jarak sosial, pakai pelitup muka, senantiasa sanitasi tangan atau kerap membasuh tangan dengan sabun, sungguhkan kini Pulau Pinang dalam fasa pembiasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KETUA Menteri diiringi Dr Afif Bahardin dan Sr. Rozali Mohamud dalam acara mengedarkan pelitup muka kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya pada pagi tadi.

Selepas itu, rombongan Kon Yeow terus ke Pasar Awam Sementara Seberang Jaya bagi melihat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) fasa pembiasaan berdasarkan Strategi Pemulihan Berperingkat yang bermula pada 8 hingga 12 Mei 2020.

Mereka disambut oleh ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : CHAN KOK KUAN