Perang lawan pandemik COVID-19 masih belum tamat

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengingatkan rakyat negeri Pulau Pinang bahawa perang melawan pandemik COVID-19 masih belum tamat.

Menurut beliau, ‘pertempuran’ tersebut memerlukan penglibatan masyarakat sepenuhnya berhubung pelaksanaan normal baharu dalam kehidupan seharian kini.

“Perang ini memerlukan penglibatan masyarakat mengikut arahan serta tindakan yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta jawatankuasa bencana dan seterusnya dibawa ke akar umbi iaitu rakyat.

“Arahan tersebut disalurkan melalui wakil rakyat ataupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam menggerakkan komuniti setempat bagi mematuhi SOP (prosedur operasi standard) khususnya dalam kalangan peniga-peniaga serta individu-incividu supaya senantiasa mengamalkan jarak sosial, kebersihan diri dan elakkan perhimpunan ramai,” ucap Kon Yeow sejurus menyampaikan bantuan keperluan kepada barisan hadapan di Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Peringkat Parlimen Kepala Batas dekat sini tengah hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Maljis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuo’ Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Penyelaras Khas bagi Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng dan Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.

Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Ketua Polis bagi Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor dan pegawai-pegawai dari agensi-agensi berkaitan turut serta.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuk pelindung muka, pelitup muka, bantuan makanan, barangan keperluan harian dan kebuk pemeriksaan saringan kes COVID-19.

Pada kesempatan sama, Kon Yeow merakamkan terima kasih di atas pengorbanan semua lapisan masyarakat terutamanya barisan hadapan yang menjadikan Pulau Pinang kini sifar kes aktif.

“Kita bersyukur hasil pengorbanan semua lapisan masyarakat khususnya barisan hadapan, negeri Pulau Pinang kini tidak ada kes aktif, yang dirawat pun sudah sembuh dan kita capai status negeri Hijau.

“Walau bagaimanapun, kita jangan relaks, jangan anggap wabak ini sudah tiada, sebaliknya, kita masih perlu teruskan amalan-amalan yang baik lebih-lebih lagi apabila sektor sosial dan ekonomi akan dibuka sepenuhnya melainkan aktiviti-aktiviti yang dilarang,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sebelum ke Kepala Batas, Kon Yeow turut turun padang menyampaikan bantuan kepada tujuh keluarga yang menjadi mangsa ribut baru-baru ini di Bagan Selat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Air Tawar.

ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad menyatakan bahawa sumbangan yang disampaikan hari ini adalah daripada Tabung Bencana TYT.

“Melalui bantuan ini (Tabung Bencana TYT), kita sampaikan nilai 10 peratus daripada kerosakan rumah yang dialami akibat kejadian ribut pada 26 April lalu.

“Serentak itu, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri yang sudi turun ke DUN Teluk Air Tawar untuk melihat sendiri kempen Jom Tewaskan COVID-19 hasil inisiatif setempat,” ulas beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & DARWINA MOHD. DAUD

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD