Kreativiti dan inovasi guru selari aspirasi pendidikan negara

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa tanggungjawab warga pendidik menjadi kian mencabar dan memerlukan kreativiti serta inovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran adalah selari dengan aspirasi sistem pendidikan negara.

 

 

Menurut beliau, dalam perjuangan mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan negara, hanya mereka yang luhur jiwa serta kental semangat mampu terus bertahan yang mana segala tindakan adalah perlu bersandarkan matlamat serta hala tuju perjuangan ditentukan.

 

 

“Justeru, guru harus menjadi kumpulan pelaksana yang sentiasa jujur dan taat setia kepada ketuanya iaitu kerajaan yang menerajui negara, jika hal ini dapat disuburkan dalam diri setiap guru, maka kemenjadian murid akan dapat direalisasikan,” serunya pada Majlis Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 di sini hari ini.

 

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad; barisan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang; para guru dan wakil-wakil penaja.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ yang berhasrat membangkitkan roh serta jiwa guru ke arah memartabatkan profesion perguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru, ia adalah perlu dititikberatkan dalam membentuk jati diri, kenegaraan, jiwa guru itu sendiri serta juga meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan berkaitan.

 

 

“Semoga para guru akan terus menjadi tunjang penting dalam ekosistem pendidikan dan seterusnya menjayakan agenda pembangunan serta pemerkasaan negara,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Pada majlis sama, Kon Yeow turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri yang diterima oleh Loh Yat Cheng manakala Nor Hassim Mahat (Anugerah Tokoh Kepimpinan).

 

 

Kedua-dua tokoh membawa pulang trofi, wang tunai RM2,500 dan hadiah kejutan sebuah motosikal.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS