RM23.9 juta Bajet 2015 harap kurangkan risiko banjir – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Bajet 2015 Pulau Pinang berjumlah RM13.9 juta tidak termasuk peruntukan tambahan RM10 juta untuk projek tebatan banjir serta menaiktaraf sistem perparitan di negeri ini yang diharap mampu mengurangkan risiko bencana kelak.

“Saya tidak berani mengatakan ini projek sifar banjir, tetapi, kita berharap ia boleh mengurangkan risiko bencana pada masa depan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Tebatan Banjir Kampung Baru, Bukit Mertajam di perkarangan Taman B di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Lydia Ong Kook Fooi (ADUN Berapit).

Menurut Guan Eng, projek yang dinilai pada 18 Mac tahun lepas dan siap pada 18 Julai lalu di sini tersebut menelan belanja RM6,913,896.

Tambahnya, Kerajaan Negeri pada tahun lepas turut meluluskan peruntukan sebanyak RM7,156,642.25 untuk projek menaiktaraf sistem perparitan dan infrastruktur Taman Tangling serta satu lagi projek di Seberang Perai Selatan (SPS) berjumlah RM242,746.25.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng memberitahu, Bajet 2015 yang baru dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town antara lain turut menambah bajet RM10 juta lagi menjadi keseluruhan peruntukan bagi menangani risiko banjir adalah berjumlah RM23.9 juta.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, sebanyak lapan projek tebatan banjir bernilai RM8,351,734.12 akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Jelasnya, projek yang dimaksudkan adalah di Taman Sri Nibong yang menelan belanja RM1,305,141.60, Taman Siakap (RM1,990,916.55), Taman Seri Jaya dan Taman Sungai Rambai ( R M 2 , 4 0 9 , 3 3 0 ) , Kawasan Perindustrian Sungai Lokan (RM455,433.97), Parit Monsun Taman Bagan (RM400,000), Taman Kerjasama (RM451,000), Lengkok Tenggiri, Seberang Jaya (RM1,090,000) dan Taman Machang Bubuk (RM249,912).

“Itu, tidak termasuk rancangan tiga projek pemajuan masa depan lain di ketiga-tiga daerah Seberang Perai yang dianggarkan menelan kos RM2.9 juta.

“MPSP memperuntukan bajet pada tahun 2015 bagi pembersihan parit monsun berjumlah RM4.34 juta dan pembaikan sebanyak RM500,000 sahaja.

“MPSP mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi, terima kasih kepada Y.A.B. Ketua Menteri kerana menyalurkan caruman dana untuk menangani masalah banjir di Seberang Perai,” ujar Maimunah.