Kuatkan suara negeri, terus minta Pusat saling kongsi hasil kutipan

Admin
b69b6cc0 a818 4bdd b80c a7584e4d09bf

GEORGE TOWN – Perbadanan Ketua Menteri (CMI) membuktikan peranannya sebagai pemangkin ekonomi yang signifikan apabila mencatatkan peningkatan sumbangan hasil yang mendadak kepada Kerajaan Negeri, iaitu daripada RM6.41 juta pada tahun 2024 kepada RM54.2 juta (2025).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan strategi pengurusan dan pengoptimuman aset negeri yang dilaksanakan secara kompetitif serta telus.

Menurut beliau, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, CMI berperanan secara langsung dalam menjana hasil melalui kutipan sewaan, pulangan pajakan, serta pelaksanaan kaedah Permintaan Cadangan (RFP) bagi memaksimumkan nilai aset strategik.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil negeri dalam jangka pendek, malah membina asas kewangan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya semasa menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 14 Mei 2026.

Mengulas lanjut mengenai usaha memastikan kemampanan kewangan negeri tanpa membebankan rakyat teramai di Pulau Pinang, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini sedang melaksanakan pendekatan holistik yang merangkumi lima langkah strategik utama iaitu menambah baik sistem kutipan hasil sedia ada serta penguatkuasaan terhadap tunggakan, membangunkan semula atau menyewakan aset tidak produktif untuk pulangan lebih tinggi serta menggalakkan pelaburan strategik dalam sektor teknologi tinggi dan perkhidmatan moden.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya turut mencari alternatif hasil secara berhemah tanpa kenaikan cukai mendadak, di samping pelaksanaan ‘Zero-Based Budgeting’ dan pemantauan prestasi kewangan bersepadu.

87626d75 01c6 4720 a4ab a93c717a2e26Syn Tze dalam sesi soalan tambahan selepas itu meminta Kon Yeow menjelaskan sejauh mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mampu bertahan dengan kebergantungan kepada hasil pembangunan dan penjualan bank tanah serta projek tebus guna laut.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya seperti beberapa Kerajaan Negeri lain, yang mana masing-masing bukan sahaja menghadapi kekangan kewangan serta hasil negeri yang begitu terhad.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini hanya ada sumber tradisional sahaja merangkumi hasil cukai, hasil bukan cukai dan penerimaan bukan hasil.

“Contohnya, cukai tanah yang kita bincangkan dengan begitu hebat dalam sesi ini (di DUN Pulau Pinang), iaitu secara langsung kita (Kerajaan Negeri) kutip cukai daripada hak milikan tanah yang ada, dan jumlah yang dapat kita kutip termasuk cukai tetap dalam lingkungan RM130 juta.

“(Pasca) kajian semula cukai tanah, itu pun cuma menambahkan hasil RM50 juta sahaja (iaitu) setelah pengurangan, pengecualian, rebate, diskaun dan sebagainya.

“Saya mahu terus terang, sekiranya sumber ini (tanah) habis, maka kita ada cabaran untuk menggantikan sumber ini dengan sumber lain… Kita ‘tahan sampai tak boleh tahan’,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sehubungan itu, jelas Kon Yeow lagi, pentadbiran senada dengan beberapa Kerajaan Negeri lain akan terus meminta Kerajaan Pusat supaya saling berkongsi hasil kutipan yang diserahkan ke peringkat Persekutuan.

“Kalau (Kerajaan) Persekutuan menimbang dan meneliti betapa mencabar kita (untuk) terus membangunkan negeri kita dengan sumber yang terhad, maka kita masih perlu bergantung kepada sumber hasil tradisional.

“Selagi perkongsian hasil dengan Pusat tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu menguatkan suara negeri untuk memastikan Persekutuan dapat mendengar suara-suara daripada negeri-negeri,” jelasnya lagi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN