Kumpulan Boria PPAPP ikut adat seni warisan boria asal

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

KUMPULAN Boria PPAPP.
KUMPULAN Boria PPAPP.

ISTIMEWANYA, sesi temuramah ruangan jalan-jalan Buletin Mutiara (BM) kali ini dimulakan dengan persembahan khas oleh kumpulan Boria Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP). Penulis yang pertama kali menonton persembahan boria secara ‘live’ (langsung) begitu terpegun dengan gerak tari dan tersentuh dengan perungkapan ‘tukang karang’ yang menyatakan bahawa kedatangan BM adalah sebagai ‘pengerat perpaduan umpama rakan’.

Hampir 20 minit selepas selesainya persembahan menarik yang disajikan, penulis lazimnya terharu dengan penglibatan anak-anak muda PPAPP yang sanggup menggadaikan masa terluang untuk bergiat secara aktif dalam memelihara warisan seni boria yang begitu sinonim dengan negeri Pulau Pinang.

MOHD. Asrar Habib Mohd.
MOHD. Asrar Habib Mohd.

Ketika soalan tersebut dilemparkan kepada Ketua Kumpulan Boria PPAPP, Mohd. Asrar Habib Mohd., 32, beliau menyatakan bahawa minat terhadap seni berkenaan adalah datang dengan sendirinya sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya mula membuat persembahan boria sejak dari sekolah dan amat bertuah kerana selepas tamat persekolahan, permohonan saya untuk berkhidmat di PPAPP tercapai.

“Ini kerana, selain menyediakan platform untuk mengembangkan seni yang semakin pupus, sokongan dan dorongan daripada warga keluarga termasuk Pengarah PPAPP, Puan Shukriah Yon sendiri telah berjaya memartabatkan seni boria kini,’’ katanya kepada BM di sini baru-baru ini.

NUR Fazriza Md. Zanul.
NUR Fazriza Md. Zanul.

Dibantu oleh Nur Fazriza Md. Zanul, 23, yang berpengalaman luas dalam seni tari, Kumpulan Boria PPAPP mula aktif pada tahun 2008. Pada peringkat permulaan, ujibakat bagi mengenalpasti calon-calon sesuai serta berbakat telah diadakan. Selepas sesi pemilihan, seramai 15 anak-anak muda telah terpilih dan angka tersebut kini telah bertambah kepada 20 orang.

Hasil komitmen selama setahun, akhirnya, Kumpulan Boria PPAPP telah mengambil langkah berani menyertai pertandingan boria anjuran Pesta Pulau Pinang 2009. Kumpulan tersebut berjaya meraih tempat ketiga.

Malah, bakat mereka turut terbukti apabila berjaya meraih tempat keempat di dalam Pertandingan Boria 1Malaysia yang diadakan di Kampung Seronok, Bayan Lepas baru-baru ini.

Menurut Mohd. Asrar yang juga merupakan ‘tukang ‘karang’ Kumpulan Boria PPAPP, pertandingan tersebut merupakan medan pertempuran paling berprestij dan sengit kepada pasukannya. Sebanyak 58 pasukan menyertai penyertaan yang terbahagi kepada tiga kategori dan hanya 11 pasukan dipilih ke peringkat akhir.

PARA penari sedang membuat persiapan sebelum bermulanya persembahan.
PARA penari sedang membuat persiapan sebelum bermulanya persembahan.

Perkara asas yang diwajibkan dalam persembahan boria adalah sketsa, muzik pembukaan dan muzik penutup. Ini bermakna, sebelum bermulanya nyanyian dan tarian, persembahan sketsa (selama 15 minit) berpandukan rangkap karangan ‘tukang karang’ yang bakal dipersembahkan kemudian adalah perlu.

Dalam pada itu, sebelum memulakan persembahan sketsa, semua pelakon perlu tunduk dan begitu juga selepas selesainya persembahan. Di dalam persembahan tarian, adat yang diwajibkan adalah tarian pembukaan disusuli dengan tarian boria dan disudahkan dengan tarian penutup. Sebagai tambahan, syarat bagi ‘tukang karang’ adalah perlunya sebatang ‘tongkat’.

Mengulas lanjut mengenai tarian boria, Nur Fazriza menyatakan bahawa adalah tidak sukar untuk mencipta rentak tarian, tetapi, memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan rentak dengan karangan ‘tukang karang’.

PERSEMBAHAN menarik Kumpulan Boria PPAPP.
PERSEMBAHAN menarik Kumpulan Boria PPAPP.

“Apabila telah mengenalpasti muzik yang bakal digunakan, saya akan mencipta seni tari sesuai berdasarkan rangkap karangan yang dikarang Asrar (Mohd. Asrar),’’ ujarnya.

Umumnya, bagi terus memelihara seni warisan berkenaan, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah drastik dengan menjemput Kumpulan Boria PPAPP membuat persembahan di dalam majlis-majlis rasmi yang diadakan.

Malah, apa yang menarik adalah pakej persembahan kumpulan tersebut turut meliputi persembahan kompang, serunai dan tarian kebudayaan.

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi Mohd. Asrar di talian, 017 – 477 0730 atau Nur Fazriza, 012 – 485 0825.