Kutip wang secara haram, ADUN gesa polis segera tangani

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya menerima aduan mengenai pihak tertentu secara haram mengutip wang ke atas lori yang menggunakan jalan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Batu Kawan ke Changkat di sini.

Justeru, beliau menggesa pihak polis supaya segera mengambil tindakan lanjut ke atas dalang terbabit.

“Pemandu lori kena bayar sebulan RM200 kepada orang yang kutip secara haram, sedangkan Kerajaan Negeri atau MPSP tidak pernah mengamalkan atau melantik mana-mana pihak untuk mengutip duit sebegini ke atas pemandu lori.

“Jadi, saya minta pihak polis segera ambil tindakan,” tegasnya dalam sidang media pada 26 Ogos lalu di sini.

Dua ahli majlis bagi MPSP, Jason H’ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiuan serta dua pemimpin pemimpin komuniti setempat lain turut sertai sidang media tersebut.

Tegas Lip Chee lagi, imej integriti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan turut terjejas sekiranya sindiket terbabit tidak segera ditangani polis.