Salur RM20,000 atasi banjir kilat kawasan Pangsapuri Seri Saujana

BATU UBAN – Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM20,000 memasang empat unit pengepam air bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Pangsapuri Seri Saujana, Sungai Dua di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan berkata, peruntukan tersebut adalah atas inisiatif bersama antara Timbalan Ketua Menteri I (TKMI) serta Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir dalam mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (TKMI) dan Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) di atas peruntukan yang diusahakan ini.

“Semenjak pemasangan pam-pam tersebut siap Julai lalu, ia telah berfungsi sepenuhnya, yang mana telah beberapa kali ‘menyelamatkan’ kawasan ini daripada dilanda banjir,” ujarnya ketika mengadakan lawatan pengoperasian pam berkenaan baru-baru ini.

Tambah Jayabalan, ketinggian paras banjir di sini boleh mencecah sehingga lima kaki tinggi dan mampu menenggelamkan sebuah kereta.

“Menurut penduduk, jika hujan lebat berlaku, dalam tempoh tidak sampai sejam kawasan Seri Saujana boleh dinaiki air,” jelasnya.

Jayabalan yang mengetuai lawatan tersebut bersama-sama beberapa pengamal media turut ditunjukkan cara pengoperasian pam tersebut sebaik sahaja air memenuhi aras pelampung yang dipasang.

Difahamkan, seunit pam tersebut mampu menyedut kira-kira 400 liter air seminit. Setakat ini, hanya tiga unit pam dipasang, manakala unit keempat akan dipasang dalam tempoh masa terdekat.