Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, responden berbelah-bahagi dengan hasrat Pusat

GEORGE TOWN – Pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kelulusan RM1.6 bilion peruntukan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim menggamit reaksi banyak pihak.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pentadbirannya kekal dengan pendirian iaitu Kerajaan Pusat wajar membuat kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan projek Persekutuan itu, demi memastikan kepentingan ekonomi serta penduduk Pulau Pinang tidak terjejas, kelak.

Lagi pun, katanya, beberapa pihak berkepentingan termasuk ahli perniagaan turut mempersoalkan kewajaran cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, kerana jarak dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas adalah kira-kira 50 kilometer (km) sahaja.

MOHD. YUSNIZAL YUSOFF, 37, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong ketika dihubungi mengaku beliau sendiri berbelah-bahagi dengan cadangan pemajuan projek persekutuan itu.

Mohd. Yusfizal tinggal di Kampung Tanjung Putus dekat Permatang Pasir. Hari-hari beliau memilih menunggang motosikal demi mengelak trafik sesak yang teruk pada waktu puncak.

Pun begitu, menurutnya, mereka yang hendak terbang dari PIA sepatutnya lebih cermat mengatur masa perjalanan untuk mengelak terlepas pesawat.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ada kerana terdapat pelbagai destinasi pelancongan menarik untuk sebab kita terbang di sana, sementara, Lapangan Terbang Kepala Batas pula untuk penumpang dari utara termasuk negeri Perlis.

“Isu trafik masuk ke pulau sesak tak timbul kerana lazimnya kita lebih waspada dengan masa dan keluar rumah lebih awal untuk terbang dari PIA.

“Kalau tanya orang dari tanah besar (Seberang Perai), mungkin dia akan anggap lebih dekat kalau terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, tapi lapangan terbang itu tentunya akan menjejaskan kepentingan PIA secara umumnya,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini pada 25 Mac 2019.

Bagi KAMARUL AZIZI AHMAD, 50-an, seorang ahli perniagaan dari Bukit Mertajam menyatakan beliau sendiri tertanya-tanya sama ada lapangan terbang yang akan dibina di Kulim untuk kargo sahaja ataupun termasuk terminal penumpang.

“Di Kulim itu kalau sekadar nak eksport panel solar, barang itu murah dan memadai eksport pakai kapal dari (Pelabuhan) Butterworth, kalau cip-cip yang mahal banyak kilang di (Zon Perindustrian) Bayan Lepas yang memang wajar dieksport pakai pesawat.

“Saya sendiri tak pasti, pendapat yang bagaimana patut dikongsi, kerana Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) kata itu lapangan terbang kargo sahaja, tapi Menteri (Mohamed Azmin) kata lapangan terbang antarabangsa untuk penumpang,” jelasnya sambil memberitahu rata-rata pihak lebih mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Nada yang sama turut dikongsi NURUL ASHIKIN SAAD, 29, seorang pekerja swasta.

Katanya, untuk terbang ke PIA, beliau ada pelbagai sebab kerana di bahagian pulau terdapat begitu banyak kawasan pelancongan menarik seperti Bukit Bendera dan Tapak Warisan Dunia George Town.

“Tapi, saya memang tak ada idea untuk pengunjung tempatan mahupun antarabangsa untuk terbang ke (Lapangan Terbang Antarabangsa) Kulim, kelak,” ulas beliau.

MUHAMMAD IIMRAN ZAINAL ABDIN, 36, pengurus pemasaran atas talian memberitahu bahawa selagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim tidak menjejaskan kepentingan ekonomi dan penduduk Pulau Pinang, projek Persekutuan itu wajar disambut oleh semua pihak.

“Pertumbuhan ekonomi tentu akan berlaku apabila ada projek Persekutuan dibuat di Kulim, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Kedah turut meningkat dengan adanya RM1.6 bilion projek ini.

“Namun, projek ini tidak boleh sampai menjejas kepentingan ekonomi secara keseluruhan di utara Semenanjung Malaysia, terutama Pulau Pinang.

“Kalau dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, menjejaskan PIA, itu sangat tidak wajar, dan sebab itu banyak pihak bertanya lapangan terbang di Kulim itu kargo sahaja atau termasuk penumpang,” jelasnya.

ABDUL JALIL ABDUL RAHMAN, 60-an, bekas kakitangan kerajaan serta anak jati Bagan Luar berkata, cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim jangan lah sampai menjejaskan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

“Kalau jadi nak membina lapangan terbang di Kulim, tentu melibatkan suatu kawasan tanah yang luas.

“Kalau membabitkan pengambilan tanah rakyat, tentu akan melibatkan pemindahan atau pengusiran secara paksa.

“Ini, juga suatu aspek yang Kerajaan Pusat kena lihat, ada kesan berantai yang lain daripada impak sosial, walaupun daripada segi ekonomi mungkin ‘menguntungkan’ Kerajaan Negeri Kedah.

“Kerajaan Pusat memang patut buat Kajian Kebolehlaksanaan supaya aspek-aspek seperti ini juga turut diambil kira, supaya satu-satu projek yang Kerajaan Pusat nak buat, tidak kiralah lapangan terbang atau apa pun, ia memang saling menjamin kepentingan ekonomi dan rakyat secara keseluruhan,” katanya sambil menyokong hasrat Kerajaan Pusat memperbesar PIA.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB