Lapangan Terbang Kulim kategori penumpang atau kargo, Kon Yeow tuntut penjelasan Kedah

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Kerajaan Negeri Kedah menjelaskan mengenai cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim sama ada di bawah kategori penumpang ataupun kargo, memandangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam telahpun mengumumkan kelulusan projek Persekutuan itu yang bernilai kira-kira RM1.6 bilion.

Katanya, Kerajaan Negeri kekal berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan perlu membuat kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu, sebelum pelaksanaan projek persekutuan itu.

Tambah beliau, komuniti perniagaan juga mempersoal kewajaran projek Persekutuan itu memandangkan jarak dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah kira-kira 50 kilometer (km) sahaja.

“Pertamanya, kita ingin (hasil) kajian kebolehlaksanaan dibuat terlebih dahulu untuk kita melihat impak kepada negeri Pulau Pinang.

“Kita harap Kerajaan Pusat yang buat (kajian kebolehlaksanaan).

“Saya kata Datuk Seri Mukhriz yang sebut (Lapangan Terbang Kargo Antarabangsa Kulim), saya tak kata Datuk Seri Mohamed Azmin yang sebut, jadi saya minta Kedah jelaskan,” respons Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di sini pada 20 Mac 2019.

Turut serta, Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), G. Ashwin.

Sebelum itu, Kon Yeow merasmikan majlis pelancaran Laporan Tahunan 2018 Program Perniagaan & Mesyuarat Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita lagi, Kon Yeow memberitahu dokumen rasmi Koridor Utara Malaysia menjelaskan terminal lapangan terbang baharu di Kulim adalah inisiatif swasta, bukan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan berdasarkan kenyataan media semalam.

Kon Yeow menyatakan bahawa beliau hadir dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Koridor Utara bersama-sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Isnin lalu.

“Beliau (Mohamed Azmin) tak sebut (lapangan terbang baharu di Kulim dibiayai inisiatif swasta) tapi mesyuarat ada sebut, dia tak hadir mesyuarat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyanggah dakwaan sesetengah pihak kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus dianaktirikan, apabila Menteri mengumumkan pelaksanaan projek lapangan terbang baharu di Kulim, Kedah.

Menurut beliau, sekiranya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion dimasukkan sebagai projek-projek baru, dalam dokumen rasmi Koridor Utara Malaysia, maka negeri ini seakan menerima limpahan projek dengan anggaran lebih RM50 bilion.

“Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri, saya minta pengurusan kemasikinikan dalam laporan (Koridor Utara Malaysia).

“Kalau kita masukkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dalam senarai projek-projek baru, kita tahu LRT, PIL (Penang Island Link) dan projek penambakan laut, (anggaran projek kira-kira) RM46 bilion.

“Kalau masuk semua ini, Pulau Pinang sudah dapat RM50 bilion…jangan ingat Pulau Pinang dipinggirkan atau dianaktirikan,” ujar Kon Yeow sambil berharap Pulau Pinang terus menjadi ‘negeri pemangkin’ kepada pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Utara Semenanjung Malaysia, seperti sedekad lalu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : CHAN KOK KUAN