Laporan khas – bulan Ramadan yang dipenuhi dengan fitnah jahat UMNO

GEORGE TOWN – Sepanjang berlangsungnya bulan Ramadan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa berdepan dengan pelbagai fitnah BN-UMNO yang memainkan sentimen perkauman bagi memecah-belahkan ikatan keharmonian antara kaum di sini.

Tambah memburukkan adalah fitnah-fitnah tidak berasas ini turut mencemari bulan suci yang sepatutnya ditunaikan dengan penuh keberkatan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Bermula dengan isu gerai Ramadan oleh Komtar Merchant Associationatau Dewan Perniagaan Komtar (KMA) yang diketengahkan beberapa hari sebelum bermulanya Ramadan, diikuti pula dengan fitnah bahawa Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri di dalam khutbah kedua solat Jumaat.

Tidak sekadar itu, setelah fitnah-fitnah tersebut dibuktikan bahawa ia hanya permainan politik karut BN-UMNO, pihak yang dianggap telah kering idea itu telah bertindak mengedarkan satu gambar penyembelihan lembu korban oleh bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tetapi menggantikan gambar sebenar dengan wajah Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang sedang menyembelih lembu korban.

Terbaru, pihak UMNO sekali lagi menggunakan muslihat jahat untuk mengganggu-gugat dan menggagalkan program kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memberi manfaat kepada rakyat dengan mendakwa bahawa wang Program Penghargaan Warga Emas dan Program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) adalah dari sumber judi haram.

Sekiranya diteliti, semua isu yang dibangkitkan oleh BN-UMNO adalah dusta semata-mata!

Menyentuh mengenai isu KMA, Naib Pengerusi KMA, Mohamad Gani Abdul Jiman yang mengembar-gemburkan isu perkauman mendakwa Kerajaan Negeri menindas orang Melayu dengan mengharamkan Bazar Ramadan Komtar. Hakikatnya, beliau sendiri yang tidak menyerahkan bayaran sewa yang sebelum ini telah diserahkan oleh penyewa-penyewa gerai kepadanya kepada pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Mengikut prosidur PDC, pemmbayaran sewa dan syarat-syarat yang telah ditetapkan perlu dipatuhi demi menjamin keselamatan, keselesaan para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan yang terletak di paras 3, Komtar. Malah, di dalam siaran Malaysia Insider bertarikh 10 Ogos 2010, Mohamad Gani sendiri mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah satu ’kesilapan teknikal’. Pada masa sama, beliau turut menyalahkan pihak media kerana salah tafsir isu berkenaan sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan peniaga bazar terhadapnya.

Kesimpulannya, janganlah jadikan isu kegagalan pengelola membayar sewa yang telah dipungut daripada para peniaga sebagai isu perkauman dan seterusnya mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menindas peniaga-peniaga Melayu!

Seminggu selepas itu, BN-UMNO mengetengahkan pula isu khutbah kedua solat Jumaat yang kononnya Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang! Entah dari mana datangnya dakwaan ini dan siapalah yang terlalu bodoh untuk berbuat demikian!

Ekoran permainan politik karut BN-UMNO itu, Kerajaan Negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan membuktikan bahawa :

  • Teks khutbah Jumaat dibaca para khatib disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri menggantikan nama Yang di-Petuan Agong.

  • Kerajaan Negeri dan JAIPP tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri.

Malah, 10 usul turut diluluskan di dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang pada 23 Ogos 2010 iaitu :

1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri ; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

4. Mengulangi sokongan ke atas dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.

5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM400 kepada semua ahli pentadbiran Kerajaan Negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.

6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan Negeri, JAIPP atau Y.A.B. Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.

8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam masjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang.

9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian dalam kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng diarahkan oleh Kerajaan Negeri.

10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik Kerajaan Negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi Kerajaan Negeri, pemberian tahunan RM100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maa’ruf nahi mungkar.

Fitnah ini lazimnya bertujuan melaga-lagakan dan menjejaskan hubungan baik kerajaan PR dengan pihak istana!

Tidak cukup dengan dosa-dosa itu, pada minggu terakhir Ramadan, BN-UMNO memainkan pula satu isu yang cukup ’lawak’. Wajah MohammadNizar yang sedang menyembelih lembu korban digantikan dengan wajah Guan Eng. Gambar ini disiarkan secara meluas terutamanya di dalam media elektronik sehinggalah dicetak dan diedarkan ke kedai-kedai kopi.

BN-UMNO, sedarlah bahawa rakyat Pulau Pinang mahupun Malaysia tidak sebodoh dan buta sebagaimana disangka. Kalau setakat ingin menunjukkan kemahiran ’cut and paste’, takyahlah menggunakan taktik murahan ini!

Seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali lagi isu perkauman dipermainkan apabila Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican mendakwa bahawa sumbangan wang Program Penghargaan Warga Emas dan Program Anti-Kemiskinan (RAK) kepada rakyat Pulau Pinang adalah daripada hasil sumber judi lumba kuda.

Menangkis fitnah ini, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Farizan Darus mengesahkan bahawa wang derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda adalah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam sahaja.

Ini kerana, tidak semua orang bukan Islam yang kaya macam pemimpin BN-UMNO yang tinggal di banglo-banglo besar dan mewah tetapi tidak mampu pun menyumbangkan RM100 kepada 110,000 warga emas berdaftar di negeri Pulau Pinang pada setiap tahun serta membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memperoleh sekurang-kurangnya RM500 setiap bulan di dalam tempoh satu tahun sebagaimana yang telah dicapai oleh kerajaan PR!

Kalau iri hati cakaplah secara terus terang. Tidak perlu penat-penat aturkan majlis sidang akhbar dengan hanya tujuan untuk membuat fitnah!

Amar maa’ruf nahi mungkar.