Lawatan bincang kembang industri perikanan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU MAUNG – Kerajaan Negeri berniat mengembangkan lagi industri perikanan sedia ada bagi memenuhi kehendak pasaran tempatan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, langkah tersebut adalah ekoran kejayaan Kerajaan Negeri mewujudkan 300 projek sangkar ikan seluruh
negeri Pulau Pinang.

Lanjutan itu, Guan Eng ditemani Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke pejabat World Fish Centre di Batu Maung bertujuan memajukan sektor perikanan negeri ini.

Pada lawatan selama satu jam itu, delegasi negeri telah bertemu dengan Ketua Pengarah World Fish Centre cawangan Pulau Pinang, Dr. Stephen J. Hall bagi membincangkan agenda berkenaan.

Bagi Hall, pihaknya amat berbesar hati untuk membantu negeri Pulau Pinang memandangkan mereka memiliki kepakaran dalam bidang perikanan.

“Kami (World Fish Centre) sudah banyak membantu kebanyakan negara kelas ketiga di benua Afrika dan seluruh dunia bagi mempertingkatkan industri perikanan di samping menjaga kelestarian alam sekitar dalam menerokai cabang ini,” ujar beliau.