MBSP tiada kompromi, dalang ‘lot lidi’ didenda RM40,000 – Datuk Bandar

Admin
edede690 5f01 44b8 b7fb 4ebb9cf4d2e5 DATUK Bandar MBSP (kanan) diiringi Setiausaha Bandaraya, Mohd. Ibrahim Md. Nor semasa mengendalikan Mesyuarat Bulanan Majlis di Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya sebentar tadi.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemajuan tanah tanpa Kebenaran Merancang (KM), khususnya yang membabitkan isu ‘lot lidi’.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memandang serius perkara berkenaan kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi menjejaskan pembangunan terancang serta kepentingan awam di Seberang Perai.

Menurut beliau, MBSP sentiasa tegas dalam menangani isu berkenaan dan telah mengambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap sebuah syarikat atas kesalahan gagal mematuhi Notis Supaya Memulihkan Semula Tanah kepada keadaan asal.

“Kesalahan tersebut melibatkan aktiviti pemajuan berupa kerja-kerja penambunan tanah di kawasan sawah bagi tujuan pembangunan ‘lot lidi’ tanpa sebarang kelulusan KM daripada MBSP.

“Pada 8 Mei lalu, Orang Kena Saman (OKS), iaitu syarikat yang terlibat dalam aktiviti pemajuan haram tersebut, telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000,” katanya sempena Mesyuarat Bulanan Majlis (MBM) yang berlangsung di Menara Bandaraya MBSP di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa tindakan pendakwaan tersebut dibuat di bawah Seksyen 27(2)(a), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa MBSP akan terus mempertingkat tindakan penguatkuasaan serta pendakwaan dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, MBSP turut menitipkan peringatan kepada orang ramai agar tidak sesekali terlibat dalam sebarang urusan berkaitan ‘lot lidi’ yang dijalankan tanpa kelulusan rasmi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan serta mendapatkan kelulusan dan kebenaran merancang daripada MBSP terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti pemajuan tanah.

“MBSP menegaskan bahawa setiap notis, syarat dan arahan yang dikeluarkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan tegas diambil selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” tegas beliau.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN