Lesen premis komersial baharu MBPP lengkap ciri-ciri keselamatan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak Februari lalu mengeluarkan lesen premis komersial baharu, yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan terkini.

Ahli Majlisnya, Ong Ah Teong berharap inisiatif terbaru itu turut dapat mengelakkan isu pertindihan pada rekod lesen premis perniagaan, seperti rungutan ramai pelanggan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebelum ini.

“Setakat ini, lebih 200 lesen (premis komersial baharu) telah pun dikeluarkan kepada pemilik perniagaan.

“Demi mengelak pertindihan (rekod) pada lesen yang dikeluarkan oleh PBT, kita (MBPP) telah memperkenalkan ciri-ciri keselamatan yang banyak seperti kod bar untuk menyemak butiran perniagaan,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Selain mempunyai barcode, Ah Teong memberitahu, lesen premis perniagaan baharu MBPP turut dilengkapkan dengan beberapa aspek keselamatan lain, seperti Rossetti Pattern, Numismatic Text, Diamond Microtext, QR Code serta diperbuat daripada kertas fiber.

“Terdapat dakwat tidak nampak pada dokumen lesen premis komersial ini, agar tidak mudah dipalsukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Sidang media itu turut disertai tiga Ahli Majlis MBPP lain iaitu, Joseph Ng Soon Siang, Gooi Seong Kin dan Nor Syazwani Md. Amin.