Lima syarikat korporat serah zakat perniagaan RM2.32 juta kepada ZPP

Admin

Lima syarikat korporat serah zakat perniagaan RM2.32 juta kepada ZPP

SEBERANG JAYA – Lima syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan kepada agensi kutipan zakat negeri, Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjumlah RM2,315,812.11, hari ini.

Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB) membuat pembayaran bagi haul 2018 sejumlah RM1,098,809.54; diikuti Maybank Islam Berhad (RM660,398.49 bagi haul 2018); Etiqa General Takaful Berhad dan Etiqa Family Takaful Berhad (RM357,300 bagi haul 2018); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM159,304.08 bagi haul 2018); dan Agro Bank (RM40,000 bagi haul 2017).

Mewakili ZPP, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menerima pembayaran zakat perniagaan daripada wakil syarikat korporat berkaitan dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

“Program yang diadakan ini adalah langkah proaktif oleh ZPP, semoga ia dapat mengeratkan lagi ukhuwah dengan para pembayar zakat di negeri ini,” jelas Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat di The Light Hotel dekat Seberang Jaya pada 29 Mei 2019.

Beliau berharap keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus ZPP kian kukuh, sempena sambutan Ulang Tahun Ke-25 Penubuhan Zakat Pulau Pinang yang bertemakan ‘Pemacu Keharmonian Ummah’.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai aksi beberapa wakil rakyat bukan beragama Islam mengagihkan hamper zakat kepada golongan asnaf, sehingga menggamit pelbagai reaksi umum.

Kelak, beliau berharap ZPP akan perelokan dan memperbaiki kaedah agihan hamper zakat demi meraikan sensitiviti masyarakat terutama umat Islam.

Sebelum itu, Amran Hazali memberitahu ZPP mensasarkan kutipan zakat fitrah RM7 seorang daripada kira-kira 700,000 umat Islam dijangka mencecah RM5.2 juta.

Majlis pada petang tadi turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ZPP.

Hadir sama, Pengerusi KTMSAB, Datuk Ir. Mansor Musa; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman; Pengerusi Negeri Etiqa Takaful Berhad, Haslina Omar; Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Peer Mohamad Ibramsha, dan Pengarah Wilayah Utara Agro Bank, Abdul Halim Md. Akib.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD