Macam Macam Berapit kembali 28 November, tampilkan seni budaya antarabangsa

Admin
4a216426 8469 4d28 b736 2ca35014ff9d

GEORGE TOWN – Acara komuniti tahunan, Macam Macam Berapit, kembali memeriahkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Berapit pada 28 November ini dengan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan aktiviti kekeluargaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata, program yang berlangsung dari pukul 6 petang hingga 11 malam di hadapan Pasar Berapit itu terbuka kepada masyarakat daripada semua kaum dan peringkat umur.

“Antara tarikan utama edisi kali ini ialah persembahan tarian topeng tradisional Mayin Jo’oh oleh Tompoq Topoh, sebuah kumpulan kebudayaan daripada komuniti Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor.

“Persembahan tersebut mengetengahkan kesenian warisan masyarakat Mah Meri yang menggabungkan irama, pergerakan tarian serta penggunaan topeng tradisional buatan tangan.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan seni buih oleh seniman, penyelidik dan fasilitator dari Austria, Dr. Stephanie Krawinkler, yang dikenali sebagai MissBubblebliss,” ujarnya melalui kenyataan media hari ini.

f3a08773 4ff5 429c 9d13 4a8169f9492d c77f1202 def2 4af9 b6dd f7db0afcd6b2 8092ee64 406d 497d a51a 405c62e90121
Mengulas lanjut, Lee Lee memaklumkan bahawa pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman video 360 darjah serta menyertai pelbagai aktiviti kreatif, termasuk seni simpulan Cina, lukisan karikatur dan seni potongan kertas.

“Antara pengisian menarik lain termasuk persembahan kekeluargaan oleh Mr. John, persembahan tarian api oleh Koispinn Fire serta permainan tradisional seperti baling tin, teng-teng, chap teh dan batu seremban,” jelasnya.

Tambah Lee Lee, Macam Macam Berapit yang mendapat sokongan Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif bukan sekadar sebuah karnival komuniti, sebaliknya menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang.

“Saya bersama pasukan mula merancang penganjuran Macam Macam Berapit sejak 2019.

“Perkara yang paling bermakna bagi saya adalah maklum balas masyarakat yang berharap agar program ini diteruskan setiap tahun bagi memberi peluang kepada penduduk Berapit dan kawasan sekitarnya menikmati persembahan bertaraf antarabangsa.

“Saya mungkin tidak berpeluang membawa semua orang menjelajah ke seluruh dunia, namun saya berusaha membawa pengalaman dan persembahan dari seluruh dunia ke Berapit.

“Itulah komitmen saya kepada komuniti ini yang akan terus saya pertahankan,” tambahnya.

Difahamkan, kemasukan ke acara tersebut adalah percuma. Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan program berkenaan.

Pelbagai gerai makanan turut disediakan sepanjang program berlangsung.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADUN