MAINPP puji usaha KITAB sedia fasiliti asrama lebih selesa kepada pelajar

Admin
GAMBAR menunjukkan sesi gimik pelancaran majlis berkaitan awal pagi tadi.

AIR ITAM – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memuji komitmen tinggi pihak pengurusan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dalam menyediakan fasiliti asrama yang kondusif dan selesa kepada para pelajar.

Menurut beliau, KITAB sentiasa berusaha menaik taraf fasiliti sedia ada bagi memastikan pelajar di luar kampus tidak perlu berpindah-randah lagi di sekitar kawasan George Town.

“Lantaran itu, KITAB telah menunjukkan nilai kepentingan penawaran pendidikan yang bermutu tinggi seiring dengan penyediaan fasiliti yang turut mempunyai kualiti demi keselesaan warganya.

“Oleh itu, diharapkan dengan penyediaan asrama baharu ini KITAB akan menjadi sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam pilihan di negeri ini dalam melahirkan ‘Ulul Albab’,” katanya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

Gimik Pelancaran Projek Pembinaan Asrama KITAB Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad serta Rektor merangkap Ketua Eksekutif KITAB, Prof. Dato. Dr. Mohamad Abdul Hamid.

SESI penukaran memorandum persefahaman (MoU) antara dua pihak di KITAB baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin turut memaklumkan menerusi mesyuarat MAINPP, dana lebihan Zakat Pulau Pinang telah diperuntuk untuk merealisasikan usaha berkaitan.

“MAINPP telah meluluskan pembelian empat (4) buah unit rumah teres tiga tingkat di Jalan Thean Teik bernilai RM7.15 juta serta pembinaan bangunan asrama baharu KITAB berjumlah sebanyak RM10 juta yang mampu menempatkan seramai 120 pelajar.

“Oleh itu, diharapkan dengan kerjasama yang terjalin di antara Seeloz Incorporated dan ABM Wilayah Utara CIDB melalui memorandum persefaham (MoU) ini dapat memberi nilai tambah kepada graduan KITAB dalam memenuhi kriteria pekerjaan pada masa kini,” jelasnya lanjut.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD