Rebut peluang sertai Program Saintis Muda, seru ADUN

Admin

SERI DELIMA – Demi memanfaatkan musim cuti persekolahan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memberikan sokongan penuh berhubung penganjuran Program Saintis Muda khas untuk pelajar-pelajar sekolah rendah.

Katanya, program percuma Kerajaan Negeri bersama-sama Tech Dome Penang (TDP) dan pejabatpejabat Dewan Undangan Negeri (DUN)/Parlimen di seluruh Pulau Pinang tersebut bertujuan menyemai minat pembelajaran sains serta matematik dalam kalangan pelajar.

“Program ini sebenarnya dah bermula sejak Disember 2017, dan kebiasaannya memang diadakan pada cuti sekolah…kerana pada waktu cuti murid-murid wajar ada aktiviti berguna seperti ini.

“Dengan adanya program seperti ini, ianya mampu memupuk minat pelajar-pelajar terhadap bidang sains dan matematik iaitu STEM (Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan),” ujarnya pada Program Saintis Muda di Pusat Pembelajaran Karpal Singh dekat Bukit Gelugor di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Pameran dan Pembelajaran TDP, Sean Lee Kuan Shern.

Syerleena dalam pada itu berharap agar program berkaitan tidak dijadikan sebagai program one-off sahaja, sebaliknya diteruskan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Kuan Shern memaklumkan bahawa pihaknya selaku pengendali program menyasarkan seramai 5,000 pelajar bakal menyertai program saintis muda pada tahun ini di lebih 50 lokasi seluruh negeri.

Selain menghubungi pusat-pusat khidmat ADUN/Parlimen, orang ramai yang berminat juga boleh menghubungi TDP di talian 04 – 262 6663.