BATU MAUNG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung melakar pencapaian penting apabila menjadi sekolah ke-129 di negeri ini yang dilengkapi kemudahan Maker Lab.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menaik taraf kemudahan sedia ada, tetapi merupakan langkah strategik dalam persiapkan generasi muda menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan yang semakin berteraskan teknologi dan pengetahuan.
Maker Lab ini merupakan hasil naik taraf bengkel Reka Bentuk dan Teknologi kepada ruang pembelajaran moden yang menyokong bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), selaras keperluan Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).
“Ia sekali gus memperkukuh ekosistem pembelajaran berasaskan inovasi, teknologi dan AI dalam kalangan pelajar,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-26 yang diadakan bersekali dengan peluncuran Maker Lab dan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform di sekolah berkenaan pada 11 April 2026.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa pelaksanaan Maker Lab di SMK Batu Maung direalisasikan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang menyumbang RM50,000, selain peruntukan RM11,500 daripada pusat khidmat beliau sebagai ADUN.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 128 daripada 397 sekolah di Pulau Pinang telah dilengkapi Maker Lab selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperluas inisiatif berimpak tinggi itu.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kemahiran kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah pelajar, selari dengan usaha memperkasa bidang STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah mencapai liputan 100 peratus penggunaan ‘smart board’ di sekolah-sekolah, dengan 85 unit diagihkan pada tahun lalu bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif.

Pada masa sama, Mohamad berkata bahawa SMK Batu Maung menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 6.47 pada 2024 kepada 5.92 pada 2025.
“Peratus kelulusan juga meningkat kepada 89.42 peratus, manakala jumlah pelajar lulus semua mata pelajaran naik kepada 36.54 peratus.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi guru, sokongan ibu bapa serta kesungguhan pelajar dalam memperkukuh asas akademik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pembangunan pendidikan di negeri ini dipandu oleh Visi Penang2030 yang menekankan pendekatan progresif, inklusif dan berteraskan keluarga.
Selain itu, Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) turut menjadi kerangka penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui lima teras utama termasuk pendidikan, anak muda dan sosioekonomi.
“Pada peringkat kawasan (Batu Maung), saya turut menggerakkan Agenda MANTAP yang merangkumi aspek Muhibbah, Anak Muda, Nelayan, Taman, Akademik dan Progresif bagi memastikan pembangunan lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan kepentingan pembangunan sahsiah pelajar melalui aktiviti kokurikulum seperti Perkhemahan Perdana Unit Beruniform yang dianjurkan.
“Aktiviti seperti ini mampu membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri pelajar, inilah pendidikan holistik yang kita mahu bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak dan berdaya saing,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kerjasama berterusan antara pihak sekolah, PIBG dan ibu bapa bagi memastikan generasi muda dibentuk dengan nilai murni serta mampu menghadapi cabaran global.
Gambar : PEJABAT EXCO