Maklum balas penduduk selesai paip najis & air bersih

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAMKira-kira 3,227 penghuni di lapan blok Projek Perumahan Awam Kos Rendah Padang Tembak yang mengalami masalah kerosakan paip najis dan air bersih mampu menarik nafas selesa apabila permasalahan tersebut memperoleh perhatian Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini di sini.

Jagdeep dalam satu siding media berkata, hampir 180 aduan diterima pihaknya berhubung kes berkenaan sebelum ini.

Lanjutan itu, Jagdeep menyatakan bahawa beliau menggesa agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab ke atas projek bernilai RM5 juta tersebut memberikan penjelasan serta menyediakan langkah alternative yang perlu diambil.

“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama JKR dan kontraktor dilantik. JKR telah bersetuju untuk turun ke setiap unit di flat berkenaan bagi mendapatkan maklum balas bersama-sama dengan pihak perumahan.

“Ini adalah salah satu langkah yang difikirkan proaktif. Notis pemberitahuan turut akan dilekatkan di semua lapan blok flat,” jelasnya pada sidang media di Komtar baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Dalam pada itu, Jagdeep berharap penduduk akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses bancian dilakukan.

“Kita perlukan pengesahan daripada mereka (penduduk).

“Selepas itu, JKR sendiri akan menentukan kaedah terbaik yang bakal digunakan bagi menyelesaikan masalah berbangkit kerana mereka (JKR) lebih mempunyai kepakaran dalam hal ini,” ujarnya.