Selenggara bangunan warisan demi keselamatan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNPemilik-pemilik bangunan warisan berusia melebihi 100 tahun di sekitar tapak warisan di sini digesa mengambil perhatian serius dan menyelenggara premis masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Gesaan tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lei Heng ekoran kejadian tiga premis runtuh di Jalan Dr. Lim Chwee Leong baru-baru ini.

Lai Heng pada satu siding media menasihati agar pemilikpemilik premis mengemukakan pelan merancang kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) agar kerja baik pulih dapat dijalankan.

“Bandar George Town semakin dikenali dan hartanah di sini sangat bernilai. Daripada dibiarkan usang, tidak dijaga dan roboh begitu sahaja, seeloknya ia diperindah, dikekalkan dan dijaga untuk dimajukan.

“ Pemilik seharusnya memastikan bangunan kepunyaan mereka selamat dan tidak membiarkannya usang begitu sahaja dengan semak samun dan pokok tumpangan tumbuh meliar yang sedikit sebanyak mencacatkan keindahan Bandar warisan selain mengancam keselamatan awam,” ujarnya selepas melawat tapak-tapak runtuhan tersebut baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Arkitek Warisan Jabatan Warisan MPPP, Fazreen Dharleila Abdul Jalil.

Dalam perkembangan sama, Lai Heng berkata, MPPP telah mengemukakan notis kepada para pemilik berkenaan dengan gesaan untuk membaikpulih dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan pada kadar segera.

“Jabatan Warisan MPPP telah mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan supaya kacau ganggu dihapuskan iaitu mengeluarkan pokok liar dan memastikan bangunan tersebut berada dalam keadaan selamat.

“Notis selama 14 hari telah dikeluarkan kepada pemilik supaya melakukan sesuatu dengan memasang fasad atau struktur agar ia tidak memudaratkan orang ramai yang melalui kawasan runtuhan.

“Sekiranya masih ingar, pihak Jabatan Warisan MPPP berhak mengenakan tindakan sewajarnya,” tegas beliau.