TDP perkenal Space Exploration Gallery, jangka siap Mei 2018

GEORGE TOWN – Tech Dome Penang (TDP), pusat sains dan penemuan unggul baru-baru ini memperkenalkan galeri baharu,
Space Exploration Gallery atau Galeri Penerokaan Angkasa Lepas yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei tahun hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkannya berkata, galeri tersebut akan memberikan nilai tambah dalam perkembangan sains dan teknologi di negeri ini.

“Ia akan memberikan keseronokan mengembara merentasi alam semesta melalui kapal angkasa terpilih yang bakal diletakkan dalam
galeri ini.

“Juga, akan menempatkan saiz sebenar Eagle Lunar Lander yang membawa manusia pertama ke bulan sebagai tanda ulang tahun ke-50 pendaratan manusia pertama di bulan pada 1969.

“(Dan) kesemua model-model kapal angkasa termasuk reka bentuk galeri ini akan diterajui oleh PSDC (Penang Skills Development Centre) dan beberapa syarikat berkaitan aeroangkasa dan aeronautik” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; peneraju projek Space Exploration Gallery seperti Penasihat, Dr. A. Darmin dari National Aeronautics and Space Administration (NASA); arkitek dari Syarikat Arkitek Permata, Andrew Goh dan Ar. Teng Chiu Chew Ying; jurutera MEI Project Engineers, Khor Wei Huat dan pereka model kapal angkasa, Mohd. Hisham Abdul Mutalib serta Tham Kok Kee daripada PSDC.

Turut sama, wakil daripada Persatuan Astronomi Pulau Pinang.

Difahamkan, selain menampilkan kapal angkasa Eagle Lunar Lander, galeri berkenaan juga akan menempatkan replika roket China’s Long Rocket, International Space Station (ISS), Space Shuttle, Mars Rover dan kapal angkasa berusia 40 tahun, Voyager.

Kos pelaksanaan projek berkaitan dianggarkan berjumlah RM530,000 dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.