Mana rumah kelamin TUDM?

GEORGE TOWNKetua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung isu Tanah seluas 330 ekar milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Butterworth yang disewakan kepada sebuah syarikat dengan kadar sewaan RM7,000 sebulan.

Menurut Guan Eng, tapak kawasan tersebut sepatutnya dibina rumah kelamin TUDM. Beliau difahamkan bahawa tapak tersebut telahpun diambilalih oleh Kerajaan Negeri pada 1982 dengan bayaran pampasan bernilai RM5,148, 000 atau RM15,600 seekar.

“ Selepas proses pengambilalihan tanah siap, geran tanah telahpun dipindah milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 23 Februari 1984.

“Akan tetapi, sehingga kini, selepas 28 tahun masih tiada rumah kelamin TUDM yang dibina, sebaliknya, Tanah tersebut yang terdiri daripada pokok kelapa sawit kini disewa dengan harga RM7,000 sebulan dengan tempoh sewaan adalah tiga tahun setiap penggal dan akan tamat pada Jun 2013,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan faedah yang diperoleh angkatan tentera dan negara sekiranya tanah yang diambilalih tidak digunakan untuk membina rumah kelamin, sebaliknya disewa dengan kadar yang murah.

“Apakah keistimewaan syarikat yang dapat sewa dengan harga yang begitu murah ini dan apakah sumbangannya kepada rakyat?.

“Saya harap Zahid bolehlah memastikan kepentingan angkatan tentera, rakyat dan negara kita dipelihara serta dibela dengan membina rumah kelamin seperti yang dijanjikan 28 tahun yang lalu,” tegas beliau.