Mandat besar di Balik Pulau, ADUN dan JKKK perlu beri khidmat terbaik

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) diseru agar memberikan khidmat terbaik setelah mendapat mandat besar bagi Parlimen Balik Pulau dan tiga kerusi Dewan Undangan Negerinya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) lalu.

 

Seruan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengadakan lawatan ke Pasar Sungai Ara di sini 3 Jun lalu.

 

Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai kemenangan besar tersebut berkata, buat julung kalinya semua kerusi di Parlimen Balik Pulau termasuk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dibolosi Pakatan Harapan (PH).

 

“Kita (Pakatan Harapan, PH) telah mencapai kemenangan bagi kerusi DUN dan Parlimen yang sebelum ini sememangnya merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sekian lama dan tidak pernah dimenangi PH.

 

“Tapi, kali ini selari dengan semangat perubahan yang ditunjukkan rakyat, maka kita telah mencapai kemenangan kerana sokongan hebat daripada para pengundi di seluruh kawasan ini,” ujarnya yang merupakan ADUN Padang Kota.

 

Pada lawatan tersebut, Kon Yeow meluangkan masa hampir sejam beramah-mesra dengan penduduk setempat sambil mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan.

 

Kehadiran beliau turut mengundang rasa teruja penduduk setempat dan golongan peniaga yang rata-ratanya mengambil kesempatan merakamkan swafoto bersama-samanya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow dalam pada itu sekali lagi menyeru ADUN dan JKKK agar menggunakan mandat ini dengan sebaik-baiknya.

 

“Saya berharap, pihak Kerajaan Negeri, ADUN dan JKKK dapat memberikan khidmat kepada masyarakat setempat di sini dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.