Perjawatan JKKK negeri kekal seperti biasa, respons KM

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa perjawatan semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri sedia ada di Pulau Pinang dikekalkan seperti biasa sehingga tamat tempoh lantikan pada hujung tahun ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, yang mengumumkan pembubaran serta-merta beberapa agensi dan institusi persekutuan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

 

“JKKKP dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi, JKKK adalah dilantik oleh Kerajaan Negeri, maka pelantikan mereka tamat pada hujung tahun ini.

 

“Saya ingat perkara ini pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco (Kerajaan Negeri), saya rasa semua kekal sehingga arahan seterusnya,” jelasnya kepada pemberita di sini 25 Mei lalu. Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan, diiringi Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

 

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad dan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab.

 

Hampir semua Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Peringkat Daerah sertai majlis taklimat khas yang dikendali Pegawai Daerah SPU, Marlia Mohd. Belia.