Mansuh tol Jambatan Pulau Pinang bawah bidang kuasa Persekutuan, respons Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan memandangkan perjanjian konsesi masih belum tamat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji impak kewangan yang berkait dengan pemansuhan tol seperti bayaran pampasan kepada syarikat konsesi dan kos-kos penyelengaraan berdasarkan kontrak tempoh konsesi tol Jambatan Pulau Pinang yang masih berbaki 20 tahun.

“Walaupun pemansuhan tol jambatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri menyokong penuh pemansuhan tol tersebut jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang,” jelasnya dalam sesi soal lisan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-14 pada pagi 6 Ogos 2018.

Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberi respons itu kepada soalan lisan ADUN Machang Buok, Lee Khai Loon.

Difahamkan, Jambatan Pulau Pinang pertama dibina pada tahun 1985, dengan perjanjian asal dan tambahan bersama-sama Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) yang berakhir pada 31 Disember 2038.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, Lim Guan Eng (dulu: Ketua Menteri; kini: Menteri Kewangan) berjanji mahu memansuhkan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang (Jambatan Pulau Pinang) sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan dan kekal menguasai Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kon Yeow turut memberi respons bahawa Kerajaan Negeri melalui program Bridge Express Shuttle Transit (BEST) sejak tahun 2011 demi menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan bas awam percuma, demi merosotkan impak trafik sesak di Jambatan Pulau Pinang.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sejak tahun 2013 mencadangkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), iaitu pelan bersepadu demi menangani cabaran trafik sesak di negeri ini.

Menurut Kon Yeow, PTMP adalah terdiri daripada rangkaian pintasan lebuh raya dan sistem rel pengangkutan awam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU MD. RADZI