Wanita berketerampilan mampu tingkat produktiviti

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUTTERWORTH – “Fesyen merupakan gaya hidup wanita berkerjaya pada masa kini. Dengan berfesyen, wanita bukan sahaja tampak lebih yakin, malah, turut menaikkan semangat dalam melaksanakan tugasan harian,” tegas perunding fesyen terkemuka, Joan Cheong, yang juga merupakan jurucakap fesyen di beberapa buah negara seperti di Taiwan dan Hong Kong.

Menurut Joan, fesyen bukan semata-mata berpakaian menarik tapi merangkumi pelbagai aspek termasuk pemilihan warna mekap, gaya rambut, jenis pakaian dan keyakinan untuk menggayakan pelbagai rekaan.

“Melalui pendekatan ini, ia dapat meningkatkan imej dan keyakinan wanita berkerjaya dalam berfesyen. Selain itu, turut menyarankan wanita menitikberatkan soal keterampilan diri dan mengetahui cara-cara yang tepat dalam berpakaian bagi meningkatkan keyakinan seseorang wanita moden,’’ katanya pada penganjuran Bengkel Peningkatan Imej Wanita Dalam Kerjaya dengan kerjasama Nan Yang Siang Pao, Penang Entrepreneur Society (PES) dan JCI Pearl di Hotel Ixora di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, Lydia Ong Kok Fooi telah menyempurnakan majlis perasmian bengkel berkenaan.

Dalam pada itu, Kok Fooi turut berkongsi pengalaman beliau dalam berfesyen sebagai wanita berkerjaya. Beliau yang menggemari gaya santai mengakui bahawa tugas beliau sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membawa beliau ke suatu pengalaman yang sangat berharga dalam berfesyen.

“Saya berharap agar wanita yang hadir dalam bengkel dapat merebut peluang ini dengan meningkatkan kebolehan dalam berfesyen, meningkatkan imej serta penampilan dan bertanyakan sebarang kemusykilan dalam berfesyen. Hal ini kerana, wanita yang berketerampilan mampu meningkatkan produktiviti dalam kerjaya,” ujar beliau.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tambah beliau, berhasrat untuk mendidik wanita berkerjaya di Pulau Pinang untuk tampil lebih menarik, berkeyakinan dan lebih sihat dalam kehidupan seharian agar visi Pulau Pinang menjadi sebuah bandaraya yang bertaraf antarabangsa mampu bergerak seiring.

Beliau turut menyatakan bahawa, MMK Wanita, Keluarga dan Komuniti setiap tahun pasti mengadakan bengkel mahupun seminar buat wanita Pulau Pinang. Malah Kerajaan Negeri juga giat menjalinkan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan dalam penganjuran program-program yang berkaitan dengan wanita, keluarga dan komuniti.