Masjid dan surau di Parlimen Batu Kawan terima sumbangan penapis air

Admin

BUKIT TAMBUN – Sebanyak 41 unit penapis air disumbangkan oleh syarikat Nihoma Group of Companies bagi kegunaan jemaah di 13 masjid dan surau (28) di seluruh Parlimen Batu Kawan.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nihoma Group, Datuk Steven Cheong Chuan Kwee dan Pengarahnya, Datuk Tan Kok Aun.

Kon Yeow berkata, sumbangan bernilai RM237,718 itu adalah disumbangkan oleh syarikat Nihoma Group of Companies kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkenaan.

Datuk Steven Cheong Chuan Kwee menerangkan mengenai cara penggunaan penapis air.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Steven (Cheong Chuan Kwee) dan dan Datuk Tan (Kok Aun) kerana menyumbangkan penapis air kepada Kerajaan Negeri untuk diserahkan kepada masjid-masjid dan surau di Batu Kawan.

“Saya berharap agar sumbangan penapis air ini dapat memberi manfaat kepada semua jemaah di masjid dan surau terlibat,” katanya sebelum menyempurnakan gimik penyerahan penapis air berkenaan dekat Masjid Jamek Al-Ehsaniah Simpang Ampat di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yusoff; Ketua Polis Balai Polis Simpang Ampat, Shahidin Osman; Pegawai Tadbir Agama Seberang Perai Selatan (SPS), Zulkhairy Ramli serta Pengerusi Kariah Masjid Jamek Al-Ehsaniah, Mohd. Sofkhi Ibrahim.

Ketua Menteri meneliti cadangan kerja menaik taraf fasa 3 Masjid Jamek Al-Ehsaniah Simpang Ampat.

Terdahulu, Kon Yeow turut diberikan taklimat oleh ahli jawatankuasa Masjid Jamek Al-Ehsaniah mengenai cadangan untuk kerja-kerja menaik taraf fasa tiga masjid berkenaan.

Mengulas perkara itu, Kon Yeow berharap agar Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dapat mempertimbangkan peruntukan sewajarnya bagi tujuan tersebut demi keselesaan para jemaah.

“Saya dimaklumkan mengenai cadangan untuk menaik taraf masjid bagi fasa 3 melibatkan kerja-kerja meluaskan kawasan untuk jemaah dengan membina lantai serta bumbung bagi membolehkan masjid ini dimanfaatkan oleh lebih ramai jemaah sepanjang tahun khususnya pada musim perayaan.

Meninjau persekitaran masjid.

“Kita (Kerajaan Negeri) ambil maklum perkara ini dan saya minta barisan kepimpinan masjid supaya mengemukakan permohonan peruntukan kepada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I untuk pertimbangan lanjut.

“Saya berharap agar projek menaik taraf masjid ini mendapat pertimbangan sewajarnya dan kerja-kerja dapat dilaksanakan pada tahun depan.

“Ini kerana saya difahamkan, masjid ini bukan sahaja menjadi pusat komuniti penting kepada umat Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam yang turut disantuni melalui kerja-kerja kebajikan khususnya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

“Justeru, saya berharap agar masjid ini terus maju sebagai pusat komuniti yang dapat menyantuni dan menyentuh hati jemaah dan masyarakat setempat,” ujarnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI