MPSP cepatkan serahan Borang Kebenaran Merancang C1, bantu rancakkan sektor ekonomi negeri

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membuat keputusan untuk mempercepatkan proses penyampaian keputusan Permohonan Kebenaran Merancang (Borang C1) kepada pemohon yang layak.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, langkah itu dibuat bagi membantu merancakkan lagi sektor ekonomi di negeri ini.

“Pentingnya mempercepatkan penyampaian Borang C1 ini adalah untuk membolehkan pemaju memulakan projek-projek mereka sekaligus dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Apabila rakyat ada pekerjaan dan mendapat gaji, mereka akan berbelanja menyebabkan ekonomi akan menjadi semakin berkembang,” ujarnya pada sidang media di sini 27 Jun lalu.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis bagi MPSP serta wakil syarikat pemaju.

Pada sidang media itu, wakil Syarikat T.T.A Polymers (M) Sdn. Bhd. menerima Borang C1 yang disampaikan sendiri oleh Rozali.

Difahamkan, syarikat pemaju berkenaan membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang bagi dua unit gudang pada 12 April lalu dan telah diluluskan dalam mesyuarat MPSP pada hari berkaitan.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, bagi pemaju yang menggunakan tenaga solar sebanyak 15 peratus, MPSP juga akan menyerahkan Borang C1 pada hari yang sama selepas permohonan diluluskan.

“Bagi pemaju yang menggunakan tenaga solar sebanyak 15 peratus atau lebih, jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kita (MPSP) akan beri kelulusan dan terus serahkan Borang C1.

“Langkah ini untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah  karbon dalam tempoh lima tahun akan datang,” jelasnya.