MBPP sasar tiga kawasan utama bersihkan sampah hanyut

img 0267

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan pembersihan di tiga kawasan utama sempena ‘Earth Cleanup Event Penang’ pada  20 hingga 23 April ini.

 

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, kawasan tersebut adalah di Pulau Gazumbo, Pulau Jerejak dan Pantai Queensbay yang kerap menjadi tempat sampah hanyut.

 

“Pada hari tersebut, seluruh komuniti akan berganding bahu membersihkan tiga kawasan iaitu Pulau Gazumbo (bersebelahan Jambatan Pulau Pinang), Pulau Jerejak dan Dataran Queensbay.

 

“Usaha bersama ini akan memperindah kawasan-kawasan tersebut dan meningkatkan kesedaran tentang peranan penting setiap individu dalam menjaga alam sekitar.

 

“Tidak terhenti di situ, acara ini juga merangkumi inisiatif menanam 165,000 batang pokok sepanjang Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Persiaran Karpal Singh,” katanya pada sidang media dekat Dewan Bandaran di Padang Kota di sini pagi tadi.

img 0235

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Pengarah Projek Malaysian Humanitarian Foundation (MHF), Henry Teh Kok Heng.

 

Mengulas lanjut, Rajendran memaklumkan bahawa usaha penanaman pokok itu juga adalah sebagai tanda sokongan kepada Yayasan Amal Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang untuk menanam 1 juta pokok dalam masa sehari.

img 0245

Sempena sidang media tersebut, MHF turut mempamerkan pelbagai produk kitar semula yang direka cipta membentuk bahan baharu untuk kegunaan semula.

 

Bahan buangan termasuk kerusi plastik, puntung rokok serta tin minuman dikitar semula sebagai produk baharu seperti sikat, beg, peralatan hiasan dan pelbagai lagi.

 

Orang ramai yang berminat untuk turut sama menjayakan  Earth Cleanup Event Penang boleh mendaftar di laman web MBPP.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD