MBPP wujud ‘task force’ pembersihan sampah sempena musim perayaan

Admin
img 0375

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersiap sedia menghadapi peningkatan pengunjung ke Pulau Pinang terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

img 0381
ROHAIZAT Hamid.

Ahli Majlis bagi MBPP, Rohaizat Hamid berkata, persiapan dan perancangan awal telah dilakukan bagi memastikan kebersihan dapat dilaksanakan di beberapa kawasan ‘hotspot’.

“Pembersihan di setiap kawasan akan dijalankan menerusi beberapa kaedah iaitu penugasan pekerja pembersihan semasa dan selepas perayaan berlangsung bermula 12 April 2024 sehingga 14 April 2024 ini.

“Selain itu, penambahan tong tambahan sebanyak satu unit multi liter, tong sampah berukuran 660 liter (6), tong sampah berukuran 240 liter (10) dan tong sampah berukuran 80 liter (10).

“Bagi kawasan ‘hotspot’ lain seperti Padang Kota Lama dan Gurney Bay, pembersihan secara ‘pickers’ akan dibuat setiap hari,” ujarnya pada sesi sidang media ‘Task Force’ Kebersihan, Keselamatan, Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam baru-baru ini.

img 0371
TAN Soo Siang (tengah) semasa sesi sidang media baru-baru ini.

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang; Bakar Noordin; Koay Gaik Kee serta barisan Ahli Majlis lain turut sertai acara sidang media berkenaan.

Dalam pada itu, Soo Siang turut mengingatkan pengunjung yang bakal meraikan perayaan Songkran untuk menjaga kebersihan pantai.

“Sambutan perayaan Songkran bakal diadakan bermula 13 April 2024 ini di sepanjang pantai Batu Feringghi.

“Sebelum ini, pihak MBPP mendapati masalah sampah sarap tidak terurus sering timbul di sekitar kawasan pantai mengakibatkan berlakunya masalah kesesakan trafik dan sebagainya.

“Oleh itu, diharapkan semua aktiviti perniagaan dan juga perayaan dapat diuruskan dengan baik bagi memastikan kawasan yang terlibat sentiasa bersih untuk keselesaan para pengunjung,” tambahnya lagi.

Difahamkan, rondaan dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas penjaja tidak berlesen yang menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang kedua-dua perayaan berlangsung.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS