MBSP belanja RM5.47 juta beli skylift baharu bagi selenggara landskap dan pengurusan bencana

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membelanjakan kira-kira RM5.47 juta untuk membeli enam unit skylift baharu bagi tujuan penyelenggaraan pokok serta menangani bencana di kawasan Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata lima daripada skylift yang berharga RM913,000 seunit tersebut diserahkan kepada Jabatan Landskap manakala bakinya diserahkan kepada Jabatan Pengurusan Krisis di MBSP.

“Sebelum ini, MBSP mempunyai lapan unit jentera skylift bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di Seberang Perai yang meliputi keluasan kira-kira 750 kilometer (km) persegi.

Jagdeep Singh Deo dan Azhar Arshad selepas merasmikan penggunaan jentera skiylift baharu.

“Selain itu, jentera skylift turut digunakan dalam operasi membuang sarang burung gagak, menangggalkan papan tanda yang tidak diluluskan, pemasangan bendera sempena bulan kemerdekaan, operasi penguatkuasaan dan lain-lain.

“Oleh itu, pembelian jentera skylift baharu ini adalah tepat pada masanya memandangkan keperluan pengguaan jentera ini semakin meningkat terutama dalam melancarkan kerja-kerja penyelenggaraan pokok, operasi penguatkuasaan dan kerja-kerja pembersihan selepas bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian penggunaan jentera skylift terkini bagi penyelenggaraan landskap dan pengurusan bencana Seberang Perai yang disempurnakan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dekat Lobi Menara Bandaraya MBSP dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan MBSP.

Azhar berkata, jentera skylift baharu tersebut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan canggih iaitu sistem anti-collision yang memudahkan kendalian jenteraan berkenaan.

Skylift baharu milik MBSP.

“Kesemua enam unit jentera skylift baru ini adalah jenis HINO buatan dari Jepun dengan sistem kren Tadano dan mampu mencapai ketinggian sehingga 22 meter (m) tinggi,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Jagdeep berharap agar penggunaan jentera skylift baharu tersebut dapat meningkatkan perkhidmatan MBSP kepada masyarakat di Seberang Perai yang merupakan masa depan bagi pembangunan Pulau Pinang.

“Saya difahamkan, MBSP mempunyai lebih 560 unit aset yang terdiri daripada pelbagai jenis jentera termasuk enam unit skylift ini yang penting untuk digunakan khususnya apabila berlakunya bencana seperti banjir besar,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS