PERMATANG BERANGAN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memperincikan langkah pengurusan trafik, penyelarasan parkir serta kawalan gangguan kepada penduduk setempat menjelang penganjuran Pesta Pulau Pinang 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 31 Disember ini di Midtown PERDA, Kubang Menerong, Tasek Gelugor.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, satu mesyuarat koordinasi bersama agensi berkaitan dijadualkan pada 29 Oktober ini bagi membincangkan persiapan serta langkah pengurusan sepanjang tempoh penganjuran pesta berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat itu akan melibatkan pihak polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), MBSP, pemaju serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan acara berskala besar itu berjalan lancar tanpa menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar.
“Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah keadaan trafik, khususnya pada waktu puncak, memandangkan laluan keluar dari Kubang Menerong menuju ke Tol Bertam serta laluan alternatif berpotensi mengalami kesesakan.
“Penyelarasan antara semua agensi amat penting bagi memastikan aliran trafik dapat dikawal dengan baik, terutama apabila jumlah pengunjung meningkat sepanjang penganjuran pesta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Tempat Letak Kenderaan dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di atas Sebahagian Lot 20571, Jalan Kubang Menerong, di sini, bersempena sambutan Hari Bandaraya MBSP Tahun 2026 di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, isu parkir turut menjadi antara kebimbangan utama, khususnya kemungkinan pengunjung meletakkan kenderaan di hadapan premis perniagaan dan stesen minyak berhampiran lokasi pesta sehingga mengganggu kelancaran trafik serta urusan penduduk setempat.
Sehubungan itu, pengurusan parkir di tapak penganjuran perlu dirancang secara teratur bagi mengelakkan parkir tidak dibenarkan di kawasan yang boleh menjejaskan aliran kenderaan.
Dalam pada itu, Baderul Amin memberitahu bahawa penyelarasan dengan pihak pemaju turut akan diberikan perhatian, terutama bagi memastikan kerja-kerja pembinaan di kawasan sekitar tidak memburukkan keadaan trafik ketika waktu sibuk.
Beliau berkata, sebarang aktiviti pembinaan yang melibatkan laluan utama perlu diselaraskan dengan sewajarnya bagi mengelakkan pertindihan antara pergerakan kenderaan pembinaan dengan peningkatan trafik pengunjung pesta.
“Selain kesesakan, aspek kebisingan dan aktiviti berkumpulan yang berpotensi menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk turut perlu ditangani secara berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata, pengalaman daripada program terdahulu, termasuk aktiviti yang melibatkan kumpulan motosikal, menunjukkan keperluan untuk memberi perhatian terhadap kawalan bunyi serta pergerakan kumpulan pengunjung di kawasan sekitar.
Katanya, tempoh penganjuran selama sebulan memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh kerana kesannya terhadap penduduk bukan hanya berlaku pada hari-hari tertentu, sebaliknya berpotensi berterusan sepanjang pesta berlangsung.
“Keutamaan kita adalah memastikan penganjuran berjalan lancar, tetapi pada masa sama, kepentingan dan keselesaan penduduk setempat tidak boleh diketepikan.
“Semua perkara ini perlu diteliti bersama agensi berkaitan supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan lebih awal, bukannya hanya bertindak selepas timbul aduan,” katanya.
Selain pengurusan trafik dan kawalan gangguan, Baderul Amin berkata, aspek kebersihan kawasan serta pemantauan aktiviti penjaja tidak berlesen selepas tamat acara turut menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
Jelasnya, pengurusan sampah dan kebersihan perlu dirancang secara sistematik bagi memastikan kawasan sekitar lokasi pesta kekal bersih sepanjang tempoh penganjuran dan selepas acara berakhir.
“Pada masa sama, pemantauan terhadap aktiviti penjajaan tanpa lesen juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan penggunaan ruang awam secara tidak terkawal serta gangguan kepada penduduk dan pengguna jalan raya,” tegasnya.
Baderul Amin berkata, hasil perbincangan pada 29 Oktober ini akan menjadi asas kepada penetapan tindakan lanjut, termasuk keperluan sokongan kerajaan negeri serta persiapan yang perlu dilaksanakan oleh setiap agensi terlibat.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan Pesta Pulau Pinang 2026 bukan sahaja menjadi tarikan kepada pengunjung, malah berlangsung secara teratur dengan mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI