SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) muncul sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama dalam negara yang menerajui pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial untuk penjaja dan peniaga kecil menerusi kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata bahawa langkah tersebut membuktikan peranan MBSP bukan sekadar sebagai pentadbir, sebaliknya pemacu perubahan yang memimpin dengan visi serta berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
“Golongan penjaja dan peniaga kecil merupakan tulang belakang ekonomi komuniti yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah juga dianggap sebagai wira ekonomi rakyat.
“Di sebalik usaha gigih mereka, terdapat pelbagai risiko seperti kemalangan, kecederaan dan kehilangan sumber pendapatan, justeru, perlindungan sosial bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
“Sehubungan itu, seramai 5,641 penjaja berlesen MBSP bakal menikmati perlindungan sosial komprehensif di bawah PERKESO, sekali gus memberi jaminan keselamatan bukan sahaja kepada diri mereka, tetapi juga kepada keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan PERKESO dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan barisan Ketua Whip serta Ahli-ahli Majlis MBSP.

Mengulas lanjut, Baderul Amin turut menegaskan bahawa komitmen MBSP bersama Kerajaan Negeri adalah memastikan tiada penjaja atau peniaga kecil tercicir daripada jaringan keselamatan sosial negara.
“Kadar caruman yang dikenakan adalah berpatutan hasil subsidi Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia, menjadikan inisiatif tersebut berimpak tinggi dengan kos minimum.
“Dalam pada itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan turut diperkukuh melalui integrasi sistem SPEEDBiz MBSP dengan PERKESO bagi memudahkan semakan caruman semasa permohonan dan pembaharuan lesen.
“Oleh itu, ini bukan sekadar penambahbaikan sistem, tetapi satu lonjakan dalam memperkasa pendigitalan perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi ‘Seberang Perai – Aspirasi Bandar Masa Hadapan’,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Mooi Lye berkata bahawa dasar itu mula digerakkan sejak 2024 sebelum diperluaskan secara berperingkat pada 2025 melalui sesi libat urus serta bengkel dan kini diwajibkan sepenuhnya pada tahun ini.
“Untuk tahun 2026, kita mewajibkan kesemua penjaja di bawah MBSP, melibatkan kira-kira 5,641 individu, untuk mencarum dalam skim perlindungan kendiri ini.
“Jumlah ini dijangka akan terus meningkat selaras pertambahan penjaja dari semasa ke semasa.
“Caruman ini penting bagi memastikan penjaja mendapat perlindungan sewajarnya bukan sahaja ketika bekerja, malah selepas waktu kerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa pendekatan sama akan diperluaskan ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam masa terdekat, selain usaha memperluaskan pelaksanaan ke negeri-negeri lain.
“Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif ini dan kita akan terus berunding dengan PBT lain di seluruh negara supaya lebih ramai penjaja mendapat manfaat perlindungan ini.
“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan semua penjaja dan peniaga kecil di Malaysia mempunyai jaringan keselamatan sosial yang kukuh dan seragam menerusi pendekatan proaktif seperti ini,” ujarnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS