PULAU Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan serantau apabila berjaya menambah lebih 12 laluan penerbangan terus (direct flights) antarabangsa dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, WONG HON WAI, jumlah tersebut merangkumi beberapa sektor tumpuan pasaran utama seperti Asia Tenggara, China, India dan Timur Tengah, di samping meneroka potensi baharu di Asia Timur termasuk Jepun dan Korea Selatan.
Jelasnya, perkembangan ini turut disokong oleh kemasukan syarikat penerbangan antarabangsa serta pembukaan laluan dari bandar raya baharu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik menerusi padanan perniagaan, pemasaran dan promosi bersama sektor perhotelan.
Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mempergiat usaha promosi melalui papan iklan digital, media sosial dan kandungan video yang disasarkan mengikut pasaran setempat bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang,” katanya.
Beliau yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini memaklumkan bahawa pendekatan pelancongan dua hala turut diperkukuh melalui jalinan kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa bagi memastikan aliran pelancong kekal mampan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai memaklumkan beberapa syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi ke Pulau Pinang pada Mac dan April tahun ini, mencerminkan keyakinan berterusan industri terhadap potensi negeri tersebut.
Baru-baru ini, penerbangan sulung Chongqing Airlines dilancarkan, menjadikan ia sebagai bandar kelapan dari China yang menawarkan penerbangan terus.
“Pada Mac lalu, Qingdao Airlines juga telah memulakan perkhidmatannya dan pertengahan April baru-baru ini, penerbangan oleh Juneyao Airlines dari Shanghai Pudong juga mendarat di sini.
“Penerbangan langsung tambahan juga dijangka mendarat di sini (Pulau Pinang) tahun ini dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan serta meluaskan jangkauan pasaran antarabangsa lain,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan infrastruktur terus dipertingkatkan termasuk pelaksanaan sistem ‘autogate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang menerima maklum balas positif daripada pengguna.
“Namun, kekangan ruang parkir pesawat masih menjadi cabaran semasa yang sedang ditangani melalui pelan naik taraf.
“Malah, dengan perancangan rapi, kapasiti lapangan terbang dijangka meningkat sehingga 12 juta penumpang menjelang 2028,” ujarnya.
Dalam masa sama, pembangunan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions), sekali gus menarik lebih banyak persidangan dan acara antarabangsa ke negeri ini.
Malah, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif dan insentif strategik termasuk memperhebat penganjuran acara bertaraf antarabangsa, festival kebudayaan serta program pelancongan berasaskan komuniti.
“Kita (Kerajaan Negeri) juga giat bekerjasama dengan pemain industri bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan hospitaliti, memperluas penawaran produk pelancongan kreatif serta memperkasa jenama Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama di rantau ini.
Mengulas cabaran semasa, Hon Wai berkata bahawa ketidaktentuan global termasuk krisis di Asia Barat serta turun naik harga minyak memberi kesan kepada operasi penerbangan.
Namun, beliau optimis apabila beberapa laluan penting seperti Qatar Airways yang kini kembali beroperasi, membantu menstabilkan semula aliran pelancong.
Sebelum itu, Hon Wai memberitahu bahawa PIA mencatatkan 8.3 juta pergerakan penumpang pada tahun lalu, sekali gus muncul sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia mengatasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang khususnya dalam tempoh pasca 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh kemasukan pelancong dari negara China dan India,” katanya.
Gambar : LAW SUUN TING