‘Wira Oren’ MBSP terima sumbangan bantuan Program YADIM Peduli

Admin

SEBERANG JAYA – Agensi Persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pulau Pinang menyerahkan 100 pek sumbangan bantuan berupa barang asasi kepada ‘Wira Oren’ yang terlibat dalam kerja-kerja perkhidmatan pembersihan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketika berucap, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod menganggap sumbangan tersebut adalah begitu bermakna kepada para penerima terutama ketika menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal kunjung tiba.

“Ini, merupakan salah satu inisiatif YADIM Negeri Pulau Pinang dalam membantu golongan asnaf dan dalam hal ini turut membantu pekerja-pekerja di bawah kategori B40 (golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus paling rendah).

“MBSP berasa sangat gembira atas sumbangan yang diberikan ini, pada waktu-waktu yang memerlukan buat masa ini,” jelasnya ketika berucap bagi mewakili Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, di Auditorium, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2020.

Ketua-ketua Jabatan MBSP serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai acara perhimpunan ringkas dalam suasana mengikut prosedur operasi standard (SOP) berwajib tersebut.

Menurut Rosnani lagi, rekod komitmen ‘Wira Oren’ yang sanggup bekerja lebih masa sehingga lewat jam 3 pagi menjelang Hari Raya Aidilfitri lepas demi memastikan bahagian Seberang Perai benar-benar bersih, adalah contoh pengorbanan yang besar serta senantiasa diingati oleh pihak pengurusan PBT dan penduduk lokal.

Sebelum itu, YADIM negeri menganjurkan Sesi Bicara Dakwah di sini.

Ketika berucap, Penolong Pengarah YADIM Negeri Pulau Pinang, Mohd. Afifi Ruslan menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan MBSP atas penganjuran bersama agihan pek sumbangan bantuan di bawah ‘Program YADIM Peduli’ tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD