Merzagua Abderrazak Ketua Jurulatih Harimau Kumbang

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Lagenda bintang yang pernah mengharumkan nama pasukan bola sepak negeri, Harimau Kumbang, Merzagua Abderrazak kembali ke ‘pangkuan’ Pulau Pinang selepas pernah membawa pasukan menjuarai Liga Perdana I pada 1998.

Kehadirannya kini adalah bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan yang berada di Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi melayakkan semula skuad Harimau Kumbang bersaing di Liga Premier dan sterusnya Liga Super.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Foaz Hamid, kehadiran Merzagua bakal menghadirkan aura baru terutamanya kepada peminat dan pemain dengan aksi menarik dan misi layak ke Liga Premier tahun hadapan.

“Saya berterima kasih kepada FAM yang segera meluluskan lesen kejurulatihan Merzagua. Malah, terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang turut membantu dari segi moral dan dana. Begitu juga syarikat-syarikat pemaju dan pihak swasta yang terlibat.

“Para pemain kini begitu bersemangat di bawah kendalian Merzagua,” ujar beliau pada satu sidang media di Stadium Bandaraya di sini baru-baru ini.

Merzagua yang turut melahirkan keyakinan terhadap pasukan berkenaan merasakan bahawa ia adalah suatu penghormatan kepadanya ekoran memperoleh kepercayaan melatih skuad Harimau Kumbang.

“Saya datang ke sini semula bagi menaikkan kembali martabat bola sepak Pulau Pinang yang sedikit merosot.

“Misi kita jelas pada musim ini adalah menaikkan semula Pulau Pinang ke liga utama Liga Perdana pada 2014. Saya percaya akan kemampuan pemain-pemain yang ada,” ujar beliau selepas tamat sesi latihan kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, pihak FAP melalui Syarikat Yezza Sdn. Bhd. melantik pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley sebagai duta persatuan.

Maskot baharu Pulau Pinang iaitu ‘Haria 74’ turut diperkenalkan pada majlis sama sebagai simbolik kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada tahun 1974.

MERZAGUA Abderrazak (dua dari kanan) bergambar bersama-sama Mohd. Foaz Hamid (dua dari kiri) dan maskot, Haria 74 pada majlis sidang di sini baru-baru ini.
MERZAGUA Abderrazak (dua dari kanan) bergambar bersama-sama
Mohd. Foaz Hamid (dua dari kiri) dan maskot, Haria 74 pada majlis
sidang di sini baru-baru ini.