Polisterina diharam mulai 1 Dis.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Pengharaman penggunaan polisterina dikuatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mulai 1 Disember lalu di seluruh pasar malam, pasar tani dan pasar pagi di sini.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasar Malam, Pasar Pagi & Pasar Tani, Mohd. Taufik Sulong berkata, pelbagai alternatif kempen kesedaran serta keburukan penggunaan polisterina secara agresif dijalankan MPPP dan Kerajaan Negeri sejak Januari lalu.

Kata beliau, antaranya adalah penglibatan MPPP dan Kerajaan Negeri melalui Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang mengadakan kempen kesedaran dan keburukan penggunaan polisterina.

“Edaran risalah, pameran, iklan melalui laman sesawang, iklan papan iklan LED (Komtar), kenyataan akhbar dan kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau telah banyak diadakan bagi menyedarkan dan memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai keburukannya,” kata Mohd. Taufik di sini baru-baru ini.

Tambahnya, seluruh jentera MPPP yang terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa dan Pembantu Kesihatan Awam bakal mengeluarkan notis terakhir kepada peniaga yang masih degil.

“Notis terakhir akan diberikan kepada peniaga ingkar dan sekiranya tiada pilihan, pihak MPPP berhak membatalkan lesen perniagaan mereka sertamerta.

“Ini kerana, mereka (peniaga) sebelum ini telah sedia maklum penggunaan polisterina mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan dan juga alam sekitar,’’ tegasnya.

Mohd. Taufik menjelaskan bahawa para peniaga sering memberikan alasan perbezaan harga ketara di antara polisterina berbanding alternatif lebih mesra alam sekitar sebagai sebab untuk tidak mempraktikkan inisiatif yang diperkenalkan.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha terbabit bakal mendapat kerjasama semua pihak.

“Kepada peniaga, jangan hanya mengejar keuntungan semata, sebaliknya lebih mementingkan kesihatan pengguna dan kelestarian alam sekitar.
“Adalah menjadi harapan agar satu hari nanti Pulau Pinang akan bebas polisterina sepenuhnya,” ujarnya.

ANTARA contoh bekas makanan polisterina yang diharamkan MPPP bermula 1 Disember lalu.
ANTARA contoh bekas makanan
polisterina yang diharamkan
MPPP bermula 1 Disember lalu.