MoU projek perumahan Jalan S.P. Chelliah ditandatangani

Gambar oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Perjanjian persefahaman (MoU) projek perumahan mampu milik di Lot 1053, Seksyen 10, Jalan S.P. Chelliah, George Town ditandatangani dalam majlis ringkas namun penuh bermakna di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Pihak-pihak yang terlibat adalah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai pemilik tanah, PDC sebagai pengurus projek dan syarikat Zubicon Sdn. Bhd. sebagai pemaju kepada projek perumahan 1,900 unit rumah di atas tanah berkeluasan 11.04 ekar.

Majlis menandatangani MoU antara tiga pihak berkenaan disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Projek yang akan dimulakan dalam jangka masa terdekat itu dijangka siap dalam masa empat tahun iaitu November 2017.

Berhubung projek tersebut, sebanyak 770 unit kos rendah berkeluasan 700 kaki persegi (RM72,500), 883 unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi (RM200,000), 165 unit berkeluasan 900 kaki persegi (RM300,000) dan 82 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi (RM400,00) bakal dibina.

Kos keseluruhan projek tersebut berjumlah RM85 juta, iaitu jaminan sumbangan kewangan (GMC) berjumlah RM60 juta dan RM25 juta baki adalah tambahan tawaran bagi kemudahan awam seperti Chelliah Park City yang akan dilengkapkan dengan ‘linear park’, kawasan hijau, terminal bas awam, laluan basikal dan pejalan kaki serta rekaan bentuk fizikal kediaman memenuhi justifikasi Green Building Index (GBI) berkelas ‘Gold’ seperti penyediaan pusat kitar semula. Turut dibina ialah sebuah surau untuk kemudahan umum.