MP Jelutong ajak warga sekolah semarakkan perpaduan, pupuk toleransi kaum sempena Hari Kebangsaan

BATU LANCANG – Ahli Parlimen (MP) Jelutong, R.S.N. Rayer mengajak murid-murid dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelutong Barat untuk menghayati sepenuhnya sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan kali ke-62 tahun ini.

Jelasnya penghayatan tersebut membolehkan kita merasai kesusahan dan perit getir pemimpin-peminpin terdahulu membebaskan tanah air tercinta daripada penjajah.

“Hari ini kita dapat tinggal dalam suasana yang harmoni dan kepelbagaian kaum, agama di Malaysia ini.

“Ayuh, kita semarakkan perpaduan ini bukan sahaja apabila tibanya sambutan Hari Kebangsaan bahkan hari-hari biasa dengan memupuk semangat toleransi antara kaum.

“Sejuk mata saya hari ini apabila melihat murid-murid di sini (SK Jelutong Barat) yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ambang Kemerdekaan SK Jelutong Barat 2019 dekat sini, pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Guru Besar SK Jelutong Barat, Nor Azmah Johari; Penolong Kanan Kokurikulum, Suzana Marliana Hasan serta guru-guru.

Pada sambutan tersebut, Rayer turut menyumbang 10 unit kipas penyejukan dan berkesempatan meninjau kerja-kerja menaik taraf dewan sekolah berkenaan.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI