Teknik penanaman akuaponik mampu wujudkan persekitaran lebih mampan

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan teknik penanaman secara akuaponik adalah jawapan kepada usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mampan pada masa hadapan.

Jelasnya, penggunaan teknik tersebut membolehkan sumber makanan di negara ini dihasilkan dengan cara yang lebih selamat, lebih hijau, sihat serta kurang penghasilan sisa yang akhirnya dapat memelihara alam semula jadi.

“Apa yang diusahakan oleh Aquaponics Science Park (Sdn. Bhd.) adalah selaras dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri paling hijau di Malaysia didorong oleh ekonomi hijau, tadbir urus yang inovatif serta pembangunan lestari menjelang tahun 2030.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Aquaponics Science Park dalam menggalakkan pertumbuhan hijau di Pulau Pinang dengan penggunaan teknologi baru serta menambah baik persekitaran, ekonomi dan sosial bagi jangka masa panjang,” ucap beliau pada program lawatan ke Aquaponics Science Park di sini pagi tadi.

Goh Toh Sin menunjukkan beberapa produk dihasilkan Aquaponics Science Park.

Turut serta, isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Pengarah Aquaponics Science Park Sdn. Bhd., Goh Toh Sin; Pengurus Besar Aquaponics Science Park Sdn. Bhd. Yeoh Chee Min; Timbalan Pengerusi FMM Bahagian Pulau Pinang, Datuk Hun Keng Kuan serta wakil-wakil penaja.

Pada lawatan selama lebih satu jam tersebut, Kon Yeow dibawa meninjau tanaman sayur-sayuran hijau seperti cili, timun, peria, daun selasih serta banyak lagi yang berjaya dihasilkan melalui teknik akuaponik.

Selain penanaman sayur-sayuran, Aquponics Science Park turut mengusahakan penternakan hidupan akuatik seperti Talapia Merah, Ikan Emas, Siakap, siput dan juga udang menggunakan kaedah sama.

Dalam pada itu, Ton Sin menjelaskan bahawa Automasi Akuaponik 4.0 bukan hanya mengenai pertanian dan akuakultur semata-mata, tetapi ia juga berkait rapat dengan pembangunan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).

“Kami juga percaya bahawa masa depan makanan bermula dengan pendidikan.

“Oleh itu, Automasi Akuakultur 4.0 ini pasti dapat memupuk minat pelajar dalam STEAM, selain dapat mempelajari tentang makanan sihat serta tidak mengandungi toksik sejak dari usia muda dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengimplementasikan unsur-unsur tersebut terhadap alam sekitar.

“Selain itu, kami juga percaya bahawa walaupun tidak mampu mengubah minda pemain industri umtuk tidak menggunakan racun perosak, tetapi ia jelas dapat mempengaruhi pasaran melalui pendidikan di sekolah-sekolah,” ulasnya.

Difahamkan, Aquaponics Science Park dibangunkan di atas tanah seluas 557 meter (6,000 kaki persegi), berlokasi di ibu pejabat Easy Pack dekat Penang Science Park, Bukit Minyak.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING