Permohonan ‘pemutihan’ 116 hotel sebelum 31 Oktober sahaja akan diproses – Exco

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersedia mempertimbang untuk memberi lesen tetap kepada 116 hotel yang telahpun dikenal pasti segera membuat permohonanpermohonan berwajib sebelum tarikh akhir program ‘pemutihan’ pada 31 Oktober ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pengusahapengusaha hotel yang gagal berbuat demikian akan berdepan dengan pelbagai birokrasi penguatkuasaan, termasuk langkah penyitaan premis hatta tindakan perobohan struktur tanpa kebenaran.

“Program ‘pemutihan’ hotel ini mula dilaksanakan pada tahun 2014, setelah mendapat rayuan daripada para pengusaha hotel tanpa lesen yang ingin mendapatkan lesen tetap untuk beroperasi.

“Maka, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan lesen sementara dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2014 hingga 2017 supaya pengusaha boleh beroperasi.

“(Sehingga kini) didapati, sebanyak 116 buah hotel boleh dipertimbangkan ke lesen tetap, sekiranya mereka mengambil tindakan segera untuk mematuhi syarat-syarat ditetapkan atau menyusuli dengan pelan-pelan yang berkenaan sebelum 31 Oktober ini.

“Pelan-pelan yang dikemukakan ini sebelum tarikh tamat, masih boleh diproses sehingga keputusan tamat” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada pemberita di Komtar di sini baru-baru ini.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Datuk Bandar MBPP, (Dato’ Maimunah Mohd. Sharif) turut sertai sidang media itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, dalam senarai lama ‘pemutihan’ MBPP, direkodkan 191 hotel, termasuk 39 hotel yang boleh dipertimbang untuk mendapatkan lesen tetap; telahpun mendapatkan Technical Review Panel, TRP dan perlu disusuli Pelan Bangunan (31) serta dikenal pasti langsung tidak mengambil inisiatif dalam program pemutihan ini (63).

“Manakala, dalam senarai baru ‘pemutihan’ MBPP pula, direkodkan, 76 hotel, termasuk 33 hotel yang boleh dipertimbang untuk mendapatkan lesen tetap; telahpun mendapatkan TRP dan perlu disusuli Pelan Bangunan (13) serta disenaraikan dalam tindakan penguatkuasaan daripada Jabatan Warisan atau Jabatan Perancang, MBPP (11).