PLB biayai kos bina jalan alternatif Bkt. Kukus

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pemaju, Kumpulan PLB bersetuju membiayai keseluruhan kos pembinaan jalan altenatif ke puncak Bukit Kukus dekat Paya Terubong yang berjumlah RM90,000 demi kepentingan penduduk setempat, susulan bencana tanah runtuh 9 September lepas di sini.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata demikian selepas mengadakan perbincangan ringkas dengan wakil penduduk dan wakil PLB.

“Ini bukan pampasan, tetapi sejenis bantuan bencana tanah runtuh daripada PLB kerana membabitkan tanah PLB, serta menyukarkan akses lima keluarga terbabit ke kawasan perumahan mereka di atas Bukit Kukus.

“RM36,000 telahpun diberikan kepada penduduk dan baki RM54,000 lagi akan PLB serahkan kepada wakil penduduk dalam bentuk cek sekarang,” ujarnya yang juga ADUN Air Itam kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Addnan Mohd. Razali turut menyertai majlis berkenaan.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan PLB, Datuk Seri Ong Choo Hoon sendiri menyerahkan cek berjumlah RM54,000 kepada wakil penduduk, Chin Leong Kong.

Difahamkan, kerja-kerja memajukan jalan alternatif sementara tersebut akan dilakukan sendiri oleh kontraktor dilantik penduduk berkaitan.

Sebahagian Bukit Kukus merupakan kawasan dusun durian persendirian, didiami turun temurun oleh lima keluarga besar berkenaan sejak hampir 100 tahun dulu.